PENANG FC menerusi laman sosial rasmi kelab telah mengumumkan menandatangani dua pemain baharu untuk memperkuatkan lagi pasukan bagi menghadapi pusingan kedua Liga Super.
Gopi Rizqi dan Lucas Espindola Da Silva (gambar atas) dibawa masuk bagi memantapkan lagi barisan serangan Harimau Kumbang yang kini mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Zainal Abidin Hassan.
Gopi yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Sarawak United FC telah dilepaskan oleh Sarawak United atas persetujuan bersama dan kembali bergandingan dengan Zainal Abidin.
Lucas Espindola pula adalah pemain Brazil yang sebelum ini beraksi di Liga Hong Kong sejak 2016 dan telah bersama beberapa buah kelab seperti Tai Po, Kitchee dan Eastern yang sering bertanding di peringkat Piala AFC.
Lucas ditugaskan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan ayam tambatan, Casagrande yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan akibat keretakan tulang pipi kanan baru-baru ini.
Kedua-dua pemain ini akan diuji keserasian mereka apabila Penang FC menghadapi kejohanan antarabangsa Piala TYT yang akan berlangsung dari 28 Jun hingga 2 Julai ini.