PENANG FC mengorak langkah awal melakukan persiapan dengan melakukan tiga lantikan barisan teknikal dan kejurulatihan bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2024-25 yang dijadualkan bermula pada Mei.

Menerusi satu sesi Town Hall yang diadakan bersama-sama penyokong setia, Harimau Kumbang membuat tiga pengumuman yang memberikan bayangan awal tentang hala tuju kelab dalam saingan liga musim ini.

Bekas legenda Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak dilantik sebagai Pengarah Teknikal kelab untuk memastikan taktikal yang dipakai setiap pasukan yang bernaung di bawah Penang FC mampu diselaraskan dengan pengalaman yang ada pada dirinya.

Jurulatih interim musim 2023, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pula dinaikkan pangkat untuk menerajui skuad Liga Super Penang FC secara kekal dan menamatkan desas-desus mengenai siapakah yang bakal mengisi kerusi panas tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Manzoor Azwira Abdul Wahid pula dilantik menjadi pengendali untuk skuad B-23 Penang FC II bagi saingan Piala MFL musim 2024-25 dengan beberapa lagi lantikan barisan kejurulatihan akan diumumkan menjelang kempen pra musim.

Perubahan-perubahan drastik ini terpaksa dilakukan pihak pengurusan bagi memastikan skuad Harimau Kumbang kembali menjadi salah satu pasukan dalam Liga Malaysia selain mengekalkan kestabilan yang sedia ada dalam pasukan.

Bagi musim 2023, Penang FC hanya menamatkan saingan di tangga ke-10 dari 14 pasukan yang bertanding dengan mengumpul 24 mata hasil enam kemenangan dan enam keputusan seri dari 26 perlawanan.