PENTAS final acara Hoki Temasya Sukma Sarawak 2024 dengan menyaksikan kategori lelaki Perak berjaya menamatkan kemarau penantian 10 tahun untuk merangkul pingat emas.

Dalam aksi final itu, kategori lelaki berkesudahan dengan penentuan shoot-out selepas perlawanan 60 minit yang berlangsung tamat dengan keputusan seri 3-3 dan kemenangan Perak 3-2 ke atas Pahang.

Pengendali hoki lelaki Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim, menyifatkan semangat kerjasama sepasukan serta keinginan yang terlalu tinggi untuk bergelar juara di dalam diri setiap pemain menjadi motivasi terkuat untuk mereka berjuang merebut pingat tersebut.

“Pertama sekali syukur Alhamdulillah atas kejayaan ini dan pada aksi final, pemain berjaya mengikut setiap perancangan pasukan dengan sebaiknya selain setiap daripada pemain juga mahu mengembalikan kegemilangan hoki di Perak dengan membawa pulang pingat emas.

“Pemain turut sedar hanya dengan kejayaan membawa pulang pingat emas akan membantu membuka jalan lebih baik bagi pembangunan hoki Negeri Perak dan segala usaha keras setiap daripada pemain serta barisan kejurulatihan membuahkan hasil hari ini.

“Perjalanan Sukma bagi pasukan Perak untuk edisi 2024 ini penuh berliku. Semua pemain hanya dapat dikumpulkan di minggu terakhir sebelum kami ke Sarawak. Namun berbekalkan beberapa perlawanan persahabatan, keserasian sebagai satu pasukan berjaya dibentuk.

“Alhamdulillah prestasi pasukan konsisten daripada awal perlawanan hingga suku akhir dan walaupun pemain agak gugup pada separuh akhir, mereka bangkit menamatkan kemarau 10 tahun pada aksi final dengan kejayaan memenangi pingat emas.

“Semangat bermain demi Perak juga sangat kuat di hati pemain dan ini cara mereka tunjukannya,” jelas Mohd Nizam.