BULAN akhirnya jatuh ke riba pemain sepak takraw negara, Zulkifli Abdul Razak yang akhirnya menamatkan penantian selama 14 tahun untuk membuat penampilan sulung di Sukan SEA Kemboja, yang akan berlangsung 5 hingga 17 Mei depan.
Mesra disapa dengan panggilan Sobey, dia antara 11 lagi pemain terpilih mewakili negara di temasya sukan dwi tahunan itu.
Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 Jakarta/Palembang ini menganggap peluang ini sebagai impian yang menjadi kenyataan memandangkan kerap kali keinginannya untuk beraksi di Sukan SEA akhirnya tertunai.
Pada edisi 2019 di Filipina, Zulikifli tidak menyertai skuad kebangsaan kerana mengumumkan persaraan bersama Syahir Rosdi setelah digantung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kerana wujud konflik antara kedua-dua pemain, manakala pada edisi lalu di Vietnam, PSM pula menyahut seruan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menggunakan pemain muda dalam saingan tersebut.
“Terima kasih kepada PSM yang memberikan saya kepercayaan ini, sebab selama ini memang saya tak pernah dapat peluang, sejak dari awal main sepak takraw memang tidak pernah beraksi di Sukan SEA.
“Saya memang teruja dapat sarung jersi Malaysia semula, bermula dengan 2009, 2011, 2013, dan seterusnya mesti ada badi, pasti akan ada benda menghalang saya daripada beraksi di Sukan Sea, jadi bila saya dapat peluang, saya akan bagi yang terbaik,” kata tekong itu.
Selain Zulkifli dan Syahir, dua lagi pemain tekong yang dibawa ke Phnom Penh Mei depan adalah Meor Zulfikar Mat Amin serta Haziq Hairul Nizam.
Sambil mengakui perlawanan tiga penjuru menentang dua buah kelab, Universiti Phatumthani dan Persatuan Sepak Takraw (PSTI) Riau amat membantu persiapan skuad negara untuk menghadapi Sukan Sea, Zulkifli berkata: “Memang kami kekurangan perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa, ini pula (Kejohanan Tiga Penjuru) adalah kejohanan antarabangsa kami yang pertama untuk tahun ini, jadi kami akan cuba mendapatkan momentum itu di Sukan Sea nanti.
“Walaupun masa agak singkat, tetapi jurulatih Ahmad Jais (Baharun) banyak berkongsi dengan kami ilmu dalaman penting untuk penjagaan pemain seperti kami untuk menghadapi perlawanan di Sukan Sea,” katanya.