PENEMBAK lelaki negara, Johnathan Wong gagal ke final acara 10 meter (m) air pistol di Sukan Olimpik Paris apabila terkandas di pusingan kelayakan.

Beraksi di Lapang Sasar Chateauroux, Johnathan, 31, sekadar menamatkan saingan pusingan kelayakan di tempat ke-26 daripada 33 peserta dengan catatan 570 mata.

Hanya lapan peserta terbaik layak ke pentas final yang dijadual berlangsung, esok.

Aksi pusingan kelayakan diungguli penembak Serbia, Damir Mikec yang mencatat 584 mata diikuti Federico Nilo Maldini dari Itali dengan 581 mata di tempat kedua manakala atlet Jerman, Christian Reitz ketiga (580 mata).

Kegagalan itu menyaksikan Johnathan gagal memperbaiki pencapaianya pada penampilan pertama di Olimpik Rio 2016 apabila dia turut terkandas di pusingan kelayakan. Ketika itu dia menamatkan saingan di tempat ke-28 dengan catatan 574 mata.

Johnathan mengakui kecewa dengan prestasinya kerana merasakan dia mampu membidik mata lebih tinggi berbanding yang direkodkannya, hari ini.

“Kalau tengok catatan mata, memang agak kurang memuaskan. Kami datang ke sini dengan sasaran lebih tinggi daripada itu.

“Kalau kita tengok catatan mata penembak dalam kelompok lapan terbaik pun tidak terlalu tinggi. Jadi, saya agak kecewa dengan keputusan ini,” katanya.