PENASIHAT tenis telah digesa untuk menggantung Novak Djokovic selepas dia enggan diuji oleh pegawai anti-doping sebelum perlawanan Piala Davis menentang Cameron Norrie dari Britain.
Djokovic sebelum ini membantu Serbia menyingkirkan Great Britain dalam separuh akhir pertandingan pada Khamis di Malaga.
Pemain nombor satu dunia itu menewaskan Norrie dengan skor 6-4, 6-4 untuk membawa Serbia ke pusingan seterusnya selepas enggan memberikan sampel dalam ujian dadah secara rawak 90 minit sebelum perlawanan bermula.
Bintang tenis berusia 36 tahun itu mempertahankan tindakannya, dengan alasan ujian melampau itu akan mengganggu rutin pra-perlawanannya.
Namun, bekas pelumba basikal dan ketua pasukan semasa bagi UCI WorldTeam Groupama-FDJ, Marc Madiot, percaya pihak berkuasa tenis perlu mengambil tindakan dengan menggantung bintang terbesar sukan itu kerana telah melanggar protokol.
“Ada peraturan ujian sebelum dan selepas pertandingan. Jika pihak anti-doping menjalankan tugasnya, Novak Djokovic mesti digantung. Dia menolak ujian sebelum perlawanan dan melakukannya selepas itu.”
“Dalam berbasikal, anda menjalani ujian dan jika menolak, anda secara automatik positif. Sekiranya itu berlaku, anda dihukum. Anda tidak mempunyai hak untuk menolak ujian, itulah peraturannya,” kata Madiot kepada RMC.
Dia menambah: “Dalam rangkaian produk doping, ada yang boleh dikesan dalam tempoh yang sangat terhad. Sekiranya anda tidak menguji diri sebelum bermula, semasa perlawanan, jejaknya boleh dilenyapkan dalam badan. Itulah sebabnya ujian diperkenalkan sebelum perlumbaan. Fakta bahawa dia hanya diberi amaran adalah tidak realistik.”
Djokovic, yang memberitahu peminat Britain untuk ‘diam’ dan ‘belajar bagaimana menghormati pemain’ berikutan kemenangannya ke atas Norrie, masih marah ketika ditanya mengenai apa yang berlaku dengan pegawai anti-doping itu.
“Ini kali pertama ia berlaku kepada saya. Ia tidak masuk akal untuk melakukannya apabila saya akan berada di sana selepas perlawanan. Mereka memberi saya notis sejam setengah. Saya mempunyai rutin pra-perlawanan saya dan saya tidak perlu berfikir pada ketika itu tentang menderma darah atau air kencing,” katanya.
Djokovic menambah: “Saya sentiasa menyokong ujian, tetapi tidak sebelum perlawanan. Apa yang akan berubah? Saya akan berada di sana, apabila perlawanan berakhir, ujilah saya. Saya akan menjalani ujian darah. Saya harap mereka mengubah keputusan itu.”