TIADA pilihan buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tiada alasan penat boleh digunakan selagi belum sah layak ke Olimpik Paris 2024.

Jurulatihnya, Nova Widianto berkata, belum sampai masanya buat gandingan nombor 10 dunia itu berehat dan memilih kejohanan.

“Permainan memang belum sempurna, ada perlu diperbetul tetapi kita tiada masa yang cukup kerana paling lama kembali untuk latihan pun dua minggu, selepas itu pergi kejohanan.

“Mereka hendaklah pergi ke kejohanan dan fokus layak ke Olimpik dulu, nanti sudah layak baru boleh pilih-pilih kejohanan, sekarang tak boleh,” kata Nova.

Nova Widianto mahu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lebih fokus kepada kekuatan mental.

Kepenatan menyerlah ketika Tang Jie-Ee Wei tewas di suku akhir Masters Jepun, namun Nova menegaskan kepenatan dialami pemainnya itu bukan atas faktor fizikal sebaliknya kurangnya kekuatan mental.

“Kalau fizikal, waktu latihan jauh lebih penat kerana berlatih hingga tiga jam satu sesi, dan ada dua sesi sehari.

“Tapi apabila bermain di kejohanan, kekuatan mental menentukan persediaan fizikal, jadi mereka perlu fokus dari segi mental yang saya rasa belum siap lagi,” katanya.

Nova mengakui, ada kemajuan ditunjukkan Tang Jie-Ee Wi terutamanya melihatkan ranking dunia yang sudah naik, namun kesilapan sendiri di atas gelanggang masih berterusan.

Ditanya mengenai situasi gandingan itu untuk layak ke Paris 2024, Nova berkata tiada pemain yang boleh mengesahkannya sekarang, namun tidak menolak kemungkinan 70 peratus pemain boleh dianggap sudah layak ke Paris pada hujung tahun ini.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, kandas di suku akhir Masters Jepun 2023.

“Kalau pemain kita layak ke Jelajah Dunia Akhir, saya rasa ada kemungkinan untuk sudah sah layak ke Olimpik.

“Namun masih ada 10 kejohanan lagi tahun hadapan, kejohanan sebelum ini Super 300, 500 akan dinaikkan lebih tinggi.

“Dari awal tahun ada Terbuka Malaysia, India, Thailand, Indonesia, Perancis, Seluruh England, dan beberapa lagi,” kata Nova.