KONTINJEN negara ke temasya Sukan SEA Kemboja tahun hadapan, dijangka kehilangan sekurang-kurangnya 12 pingat emas yang sering dimenangi pada temasya lalu.

Ini berikutan banyak acara sukan yang dikuasai skuad negara tidak akan dipertandingkan pada temasya yang akan berlangsung pada Mei 2023 itu.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, secara realistiknya, kontinjen negara tidak mampu meraih pingat emas seperti di Hanoi, Vietnam.

“Kita kena realistik kerana kita banyak sukan yang selalu kita dapat emas, dikurangkan di Kemboja. Sebelum ini sudah dikurangkan di Vietnam, dikurangkan lagi di Kemboja nanti.

“Sebagai tuan rumah, Kemboja memasukkan banyak acara sukan tradisional dan luar dari sukan Olimpik yang kita langsung tidak fokus. Mereka masukkan lagi renang sirip, catur Kemboja, bokator dan banyak lagi,” katanya, selepas mesyuarat bedah siasat Sukan SEA Vietnam, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau turut memberi bayangan acara olimpik seperti terjun, daripada lapan pingat emas, tuan rumah temasya edisi ke-32 itu mengurangkan dua pingat.

Justeru, beliau berkata, acara sukan yang akan disertai di temasya itu nanti, perlu diperhalusi sebelum pemilihan sukan yang akan disertai dibuat pada 11 Oktober ini, bagi memastikan dengan walaupun kontinjen lebih kecil tetapi mendapat impak pingat dengan nisbah lebih baik.

Sementara itu, Chef de Mission Sukan SEA Vietnam, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, input bedah siasat diterima pada mesyuarat hari ini diharap dapat membantu perancangan dan persiapan kontinjen ke Kemboja yang akan diketuai Datuk Mohd Nasir Ali, tahun hadapan.

Katanya, tiada isu besar dibangkitkan wakil persatuan sukan melainkan isu penyediaan makanan dan pengangkutan ke venue pertandingan.

Mesyuarat bedah siasat Sukan SEA Vietnam, di Kuala Lumpur pada Sabtu.

“Saya harap isu-isu dibangkitkan ini kita dapat perbaiki, begitu juga dengan rungutan persatuan apabila atlet hanya tiba di Vietnam dua hari sebelum pertandingan.

“Ini masa untuk kita tebus balik kedudukan (pingat keseluruhan) di bawah Singapura sebelum ini dalam kutipan pingat. Di Kemboja nanti, tiada alasan bagaimana untuk kita dapatkan pingat kerana sudah banyak persiapan atlet yang beraksi di Sukan Komanwel dan Sukan Malaysia,” kata Nur Azmi.

Pada temasya Hanoi, kontinjen negara membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.