PENGENDALI skuad Penang FC 2, Manzoor Azwira Abdul Wahid gembira dengan aksi yang ditunjukkan barisan pemainnya meskipun tewas 0-4 kepada skuad Liga Super Kedah Darul Aman FC pada aksi ujian di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star pada Jumaat.
Dia yang ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan mengakui perlawanan seperti ini diperlukan oleh para pemainnya untuk membina keyakinan bagi menghadapi saingan Piala MFL B-23 yang dijangka lebih kompetitif musim ini.
Manzoor turut menegaskan dia mencabar para pemainnya untuk membuktikan kemampuan masing-masing bukan sahaja untuk merebut kesebelasan utama skuad Penang 2 tetapi juga dinaikkan pangkat ke pasukan utama di Liga Super.
“Perlawanan ini adalah satu perkara yang positif untuk pasukan kerana kami baru memasuki minggu keempat latihan jadi ini adalah perlawanan kompetitif pertama kami dan saya lihat pemain menunjukkan prestasi yang baik.
“Namun masih ada perkara yang boleh dipertingkatkan lagi tetapi apa yang penting pendedahan dalam perlawanan ini berikan pemain keyakinan supaya jadi matang dalam permainan dan saya harap perkara ini akan bertambah baik.
“Saya juga cabar pemain untuk buktikan yang mereka sebenarnya perlu bermain di Liga Super dan bukannya Piala MFL kerana kedua-dua skuad bermain dengan corak yang sama mengikut arahan yang telah ditetapkan Pengarah Teknikal, Merzagua Abderrazak,” katanya.
Bekas pengendali skuad Liga Super Penang itu juga menggunakan pengalamannya melatih skuad utama untuk diterapkan kepada pemain-pemain muda ini bagi memastikan mereka mampu memberikan aksi terbaik.
“Saya terapkan pada pemain supaya yakin dalam bermain bola dan sentiasa berdisiplin di dalam padang kerana perkara ini akan membantu mereka beraksi lebih baik di peringkat tertinggi selepas ini,” ujarnya.
Skuad Penang 2 meletakkan sasaran awal untuk berada pada kedudukan terbaik dalam liga dengan format baharu Piala MFL dirombak menjadi satu pusingan liga bagi musim 2024-25 ini.