PENDUDUK di Bahia menuntut patung Dani Alves da Silva dikeluarkan selain melakukan vandalisme terhadapnya, setelah bekas bintang Brazil itu dihukum penjara empat tahun setengah atas tuduhan merogol.

Patung tersebut terletak di Juazeiro, utara negeri Bahia, iaitu tempat kelahiran Alves sendiri.

Dani Alves merupakan pemain bola sepak cemerlang setelah melakar beberapa kejayaan.

Menurut akhbar Daily Mail, terdapat seorang penduduk sebelumnya yang memberitahu dalam nada mengugut untuk merosakkan patung tersebut melalui media sosial, dan Dewan Bandaraya Juazeiro kini sedang mempertimbangkan isu untuk mengeluarkan patung itu dari tempat asalnya.

Patung yang dihasilkan oleh seniman Leo Santana ini telah diperkenalkan pada tahun 2020, namun ianya kini menjadi imej negatif setelah perbicaraan Alves menjadi isu umum.

Terdahulu, Alves didakwa bersalah pada 22 Februari atas tuduhan merogol seorang wanita di kelab malam Sepanyol pada tahun 2022.

Alves telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun setengah atas tuduhan merogol.

Meskipun pemain tersebut mendakwa bahawa ianya merupakan hubungan seksual secara sukarela, namun wanita tersebut menafikan kenyataan Alves dan memberitahu hal sebaliknya.

Alves adalah pemain yang cemerlang dalam sejarah bola sepak profesional dengan 43 trofi berjaya dicipta sementara bermain dengan kelab-kelab gergasi seperti Barcelona, Juventus, dan Paris Saint-Germain.