KERJASAMA antara Malaysia Airlines (Malaysia Airlines) dan Leisure Golf Services (LGS) serta Komuniti Golf Melayu Malaysia (KGMM) telah berjaya merealisasikan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur ke Kertajati pada 30 Oktober bagi menyertai  pertandingan Leisuremania Golf di Bandung.

Seramai 56 pemain golf amatur Malaysia yang masing-masing berasal dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang, Kelantan, Johor dan Melaka dapat merasai pengalaman menjadi penumpang dalam penerbangan pertama itu  sekali gus memeriahkan pertandingan Leisuremania Golf tersebut.

Kesemua penumpang bertuah ini telah ditawarkan pakej penginapan lima hari empat malam serta berpeluang bermain di tiga kelab golf terkemuka di sekitar Bandung seperti Mountain View Golf Resort, Jatinangor National Golf & Resort dan Parahyangan Golf.

Sementara itu, Presiden KGMM, Safian Abdullah mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan lagi sokongan penyertaan dari ahli-ahli KGMM yang lain memandangkan kejayaan siri pertama pertandingan Leisuremania Golf di Bandung ini amat memberangsangkan.

“KGMM bercadang untuk membuka lebih banyak lagi ruang penyertaan kepada pemain-pemain golf amatur dari Malaysia untuk terlibat dalam acara ini walaupun belum menjadi ahli yang sah.

“Kita pun sudah mula mewujudkan komuniti golfer yang berada di Bandung dan Indonesia untuk memudahkan kerjasama di masa akan datang antara pemain golf amatur Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Sementara itu, Safian turut menerangkan mengapa Leisure Golf Services menjadi pilihan utama bagi pihak KGMM untuk menjalinkan kerjasama iaitu dari segi kualiti perkhidmatan yang disediakan syarikat agensi pelancongan itu.

“Kita sudah bekerjasama dengan Leisure Golf memasuki tahun keempat dan kali ini kita fokus kepada siri Leisuremania Golf.

“Leisure Golf jadi pilihan sebab senang berurusan dan semuanya on time ‘menepati masa’, mudah dan selesa untuk kami,” katanya.

Juara Leisuremania Golf edisi pertama ini telah dirangkul oleh Abdul Halim Ismail manakala tempat kedua dimiliki oleh Noor Hassan Hussain dan Azhar Ahmad pula memenangi tempat ketiga diikuti oleh pemenang tempat keempat iaitu Imran Mohamad Nor.