PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil VAR selepas kedua-dua mereka gagal membuat keputusan yang tepat pada perlawanan Liga Super 2024-2025 antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 November 2024.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM menjelaskan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah membuat analisa tentang insiden situasi penalti pada minit ke-38 dan pergelutan pada minit ke-84 yang melibatkan pemain Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada.
“Analisa kedua-dua insiden tersebut dibuat berpandukan Undang-undang Permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mendapati keputusan pengadil perlawanan dan Pengadil VAR adalah kurang tepat.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil VAR terbabit sebanyak dua perlawanan daripada sebarang tugas pengadil di Liga Profesional dan Liga Amatur.
“Selain direhatkan untuk dua perlawanan, kedua-dua pengadil tersebut juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan tugas pengadil,” katanya.
Sivasundaram juga menyatakan bahawa FAM memandang berat tentang isu prestasi pengadil-pengadil termasuk pengadil VAR dan tidak akan berkompromi dalam hal yang berkaitan dengan persembahan kualiti pengadil.
Mengulas tentang jenis hukuman, dia menjelaskan bahawa FAM mengambil pendekatan jenis hukuman yang berprinsipkan ‘pendidikan’ agar pengadil-pengadil yang menunjukkan prestasi lemah bukan sahaja dihukum, malah pada masa yang sama mereka akan dididik dan diberi khidmat kaunseling agar pengadil berkenaan dapat kembali bertugas dengan lebih cemerlang.
“FAM juga perlu berhati-hati dengan tahap hukuman yang lebih lama dan berat kerana Liga Profesional negara menggunakan teknologi VAR, yang mana semua pegawai perlawanan yang dilantik wajib memiliki lesen VAR.
“Dalam situasi ini, hukuman berprinsip pendidikan adalah amat sesuai untuk memastikan perjalanan liga kita berjalan dengan lebih lancar. Polisi seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia diguna pakai di peringkat FIFA, AFC dan kebanyakan liga-liga yang ternama di dunia,” jelasnya.
Sementara itu, FAM juga mengingatkan pemain-pemain agar mengawal emosinya semasa bermain dan kertas pertuduhan membabitkan kes di antara Arif Aiman dan Tommy Mawat itu telah pun dihantar oleh Sekretariat Agung FAM kepada kelab masing-masing pada Rabu, 13 November 2024.