PENGADIL Britain, Anthony Taylor dan keluarganya menjadi mangsa serangan penyokong AS Roma di Lapangan Terbang Budapest, Hungary, susulan kekalahan kepada Sevilla pada final Liga Europa 2023.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan Taylor dan keluarganya diiringi oleh pegawai keselamatan lapangan terbang keluar dari sebuah kafe dan memasuki kawasan selamat. Tindakan ini diambil selepas segelintir penyokong AS Roma mengejar dan meluahkan kekecewaan mereka kepada pengadil.

Sebilangan peminat AS Roma meluahkan kata-kata pedas terhadap Taylor dan ahli keluarganya, termasuk anak perempuan dan isterinya. Peminat Roma turut membaling air ke arah Taylor dan keluarganya.

Seorang peminat dilihat bertumbuk dengan seseorang yang disyaki saudara Taylor. Kelihatan juga kerusi dibaling ke arah pengawal keselamatan yang mengawasi Taylor.

Kemarahan penyokong AS Roma timbul selepas pasukan mereka ditewaskan oleh Sevilla menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir Liga Europa. Segelintir pihak turut mendakwa timbul kemarahan kerana tindakan jurulatih AS Roma, Jose Mourinho yang menggelar aksi Taylor pada perlawanan akhir sebagai ‘memalukan’.

Mourinho malah dirakam kamera menunggu Taylor di tempat letak kereta selepas perlawanan.

“Ia adalah permainan yang sangat sengit, maskulin dan bersemangat, dengan pengadil (Taylor) yang kelihatan seperti orang Sepanyol. Dia memberikan kuning, kuning, kuning sepanjang masa,” kata Mourinho selepas perlawanan akhir.

Lapangan Terbang Budapest, yang dipetik oleh Sky Sports, berkata prosiding jenayah telah dimulakan terhadap penyokong AS Roma yang didakwa merusuh semasa kejadian itu.

“Penyokong Rom yang kalah mencari pengadil (Taylor) di medan selera lapangan terbang, tempat dia menunggu penerbangannya. Terima kasih kepada kerjasama pengendali lapangan terbang dan polis, pihak berkuasa segera campur tangan, pengadil diiringi ke ruang menunggu dan selamat menaiki pesawat dengan diiringi pegawai polis.

“Warga Itali yang terlibat dalam insiden itu telah ditangkap oleh polis dan prosiding jenayah telah dimulakan atas dakwaan gangguan,” menurut kenyataan Lapangan Terbang Budapest.