PERLAWANAN terakhir siri jelajah persahabatan menentang Korea Selatan amat penting buat Speedy Tigers bagi membuktikan mental pemain kental ketika berdepan keputusan pengadil yang memihak tuan rumah.

Pengendali skuad hoki kebangsaan, A Arulselvaraj menuntut anak buahnya untuk memburu kemenangan pada aksi terakhir di Incheon, Korea Selatan, esok.

Berbekalkan dua keputusan seri dan satu kekalahan pada tiga perlawanan terdahulu jelas menunjukkan betapa sukar cabaran dihadapi anak didik Arul yang terpaksa berdepan pengadilan yang memihak lawan.

“Kami memang inginkan kemenangan di perlawanan akhir nanti,” kata Arul, walaupun mengakui cukup getir untuk mereka memperoleh keputusan itu.

“Walaupun kami bermain dalam situasi agak tertekan kerana pengadil lebih memihak kepada pasukan Korea, tapi kami ingin bermain dengan dua pengadil mereka.

“Kami mahu membuktikan yang kami masih boleh menang dengan kedua-dua pengadil itu.”

Dalam aksi persahabatan ketiga semalam, skuad kendalian Arul bangkit daripada ketinggalan untuk melakar keputusan seri 2-2, berterima kasih atas jaringan Muhammad Razie Abd Rahim menerusi pukulan penalti strok pada minit ke-60.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membuka tirai jaringan perlawanan buat Malaysia pada minit ke-27 sebelum Korea Selatan meledak dua gol masing-masing pada minit ke-31 dan 34 sebelum Razie menyelamatkan ‘maruah’ negara.

“Satu prestasi yang baik ditunjukkan Speedy Tigers. Walaupun ketinggalan 1-2, kita dapat menyamakan kedudukan pada saat akhir, tiga saat sebelum perlawanan tamat. Kita dapat pukulan penalti strok dan akhirnya seri.

“Secara keseluruhan, satu prestasi kawalan bola yang tenang dan sabar dipamerkan pasukan tetapi kita perlu perbaiki lagi di suku ketiga terakhir,” kata Arul.

Siri Jelajah Persahabatan Korea Selatan ini menjadi salah satu medan persediaan buat skuad kebangsaan menjelang Trofi Juara-Juara Asia pada 3 hingga 12 Ogos ini di Chennai, India.