LATIHAN ‘Video Assistant Referee’ Pengadil atau (VAR) dijadual akan dilaksanakan di Malaysia bermula Ogos hingga Disember 2023.
Objektif utama pengenalan VAR di Liga Malaysia adalah untuk meningkatkan kualiti Pengadil yang seterusnya akan membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.
Menurut kenyataan rasmi badan induk itu, pelesenan VAR telah menjadi satu kemestian dan membuka peluang kepada mana-mana pengadil Malaysia yang ingin beraksi di liga tertinggi di peringkat AFC dan FIFA.
“Susulan itu, FAM telah memulakan langkah awal dengan menghantar Pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin untuk mendapatkan lesen VAR sebelum Ogos 2023.
“Nazmi ketika ini sedang menjalani latihan VAR di Riyadh, Arab Saudi selama 9 hari (2 hingga 10 Ogos 2023) di bawah bimbingan Instruktur FIFA VAR, Anas Hakan (Australia) dan Farkhad Abdullah (Uzbekistan).
“Melalui proses ini, ia akan memudahkan Nazmi untuk terus melangkah ke hadapan dan dapat terlibat dalam kejohanan tertinggi di peringkat AFC dalam masa terdekat ini,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al Misehal kerana memberi peluang kepada pengadil negara untuk menjalani latihan VAR di Arab Saudi.
Ujarnya, FAM akan terus menjalin hubungan dua hala dengan SAFF dalam aspek kepengadilan.
Selain usaha menghantar Nazmi ke Arab Saudi untuk latihan VAR, FAM juga akan melatih sejumlah 20 Pengadil dan 20 Penolong Pengadil dari Kategori A dan A1 termasuk Semua Pengadil FIFA (6 orang), Penolong Pengadil FIFA (8 orang) dan seorang Penolong Pengadil FIFA (wanita).
FAM dengan bantuan FIFA akan melatih pengadil VAR dan dijangka akan melengkapkan pentauliaan pada akhir tahun 2023.
Bagi tahun 2023 ini, pelaksanaan VAR lebih tertumpu kepada Latihan Pengadil, VAR Simulator, ‘Live match training’, pengiktirafan teknologi VAR dan pengiktirafan Stadium yang akan menggunakan VAR.