TIGA pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dikenalpasti menggunakan khidmat jurulatih sebagai boneka bagi mengendalikan skuad masing-masing pada musim 2023.
Perkara ini diakui Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Satiananthan yang menyifatkan mereka (jurulatih) sebagai boneka kerana sanggup ‘menjual lesen’ mereka dengan mendaftar sebagai pengendali pasukan terbabit.
Bagaimanapun hakikatnya skuad itu dikendalikan oleh individu lain yang tidak memiliki lesen Pro-A seperti yang disyaratkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Situasi sama turut berlaku membabitkan Liga M3 apabila terdapat jurulatih tempatan yang bertindak menjual lesen mereka bagi membolehkan pasukan tertentu melantik pengendali asing sekali gus melanggar garis panduan ditetapkan Liga Bolasepak Amatur (AFL).
Tegas Sathia, tiga pasukan itu masing-masing membabitkan dua daripada Liga M3 manakala satu lagi beraksi di Liga Super.
“PJBM sudah mengingatkan jurulatih tempatan supaya tidak meletakkan harga diri terlalu murah dengan menjual lesen mereka untuk dimanipulasikan pihak lain.
“Seperti yang kita terima laporan bahawa terdapat ada jurulatih tempatan menerima tawaran kelab tertentu sebagai ketua jurulatih namun sebaliknya berlaku apabila pengendali asing memainkan peranan terbabit.
“Janganlah pengendali tempatan menjadi boneka apabila tugasan seperti latihan dan susunan pemain dilakkan jurulatih asing sekali gus melanggar syarat ditetapkan AFL,” jelasnya ditemui pada Kongres Tahunan PJBM 2022 bagi penggal 2018-2022 di Petaling Jaya, pada Sabtu.
Diminta mengulas tindakan yang boleh dilakukan selaku persatuan yang menjaga kebajikan dan keperluan jurulatih tempatan, Sathia menjelaskan situasi ini perlu membabitkan pengurusan dań jurulatih pasukan itu sendiri.
“PJBM memang ada menerima laporan namun tidak boleh mengambil tindakan. Situasi ini saya salahkan kedua-dua pihak iaitu pengurusan pasukan dan jurulatih itu,”katanya.
Tambahnya lagi, Sathia turut menasihati jurulatih tempatan supaya tidak termakan tawaran kelab untuk melantik mereka sebagai pengendali boneka pada musim depan.
“Perkara ini harus ditangani segera supaya idak menjadi ikutan pasukan lain hingga menjejaskan kualiti bola sepak tanah air dan tidak sewenang-wenangnya menjual lesen mereka untuk menjadi pengendali boneka,” ujarnya.