OLAHRAGA meninggalkan Sukan Asia ke-19, dengan hanya acara trek menyumbang pingat dan padang pulang membawa pengajaran.
Ini termasuklah atlet lompat bergalah wanita, Nor Sarah Adi, yang mendapat pengajaran besar selepas gagal melakukan lompatan.
Bagi pemenang pingat perak dalam acara lompat bergalah di temasya Sukan Asia Doha 2006, Roslinda Samsu, dirinya tidak menyalahkan anak didiknya, Nor Sarah yang gagal menyerlah di Hangzhou.
Roslinda memahami apa yang sebenarnya berlaku kepada Sarah kerana bukan sesuatu yang mudah tatkala berdepan dengan kejohanan yang besar seperti Sukan Asia.
Sarah gagal menamatkan saingan dalam ranking kerana tidak mencatatkan sebarang lompatan apabila gagal dalam ketiga-tiga percubaan pada ketinggian 3.80 meter (m).
Roslinda berkata, dia faham apa yang bermain di fikiran Sarah ketika hari berkenaan.
“Dia nampak tenang tapi dalaman itu tiada siapa yang tahu. Ini pengalaman untuk dia dan juga saya bagaimana untuk kami berdepan dengan situasi yang begini.
“Keadaan penonton yang ramai, banyak acara berjalan serentak bukan satu perkara mudah ditangani.
“Jika sebelum ini tiada siapa yang peduli acara lompat bergalah tapi suasana dalam stadium ketika itu begitu ramai. Ia sangat berbeza. Jadi saya faham apa yang dia rasa,” katanya.
Jelas Roslinda, dia membenarkan Sarah bermula dengan ketinggian 3.8m adalah untuk menjimatkan tenaga sekiranya Sarah berjaya untuk percubaan seterusnya.
“Ketika sesi pemanas badan memang dia dapat melepasi 3.8m, 4.1m (meter) jadi bila dia yakin dan saya yakin itu sebab kami memilih untuk bermula 3.8m.
“Bila mula pertandingan dia cakap dia ‘lost’ saya pernah alaminya jadi saya faham, Saya tak banyak tanya.
“Tapi inilah pengalaman. Adakalanya apa yang kita rancang tidak menjadi. Risiko tetap ada,” katanya.
Roslinda kini ditugaskan mengambil alih tugas yang ditinggalkan oleh bekas ketua jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Mohd Manshahar Abdul Jalil sebagai jurulatih Sarah bermula April lalu.
Roslinda yang juga pemenang rekod kebangsaan dalam acara itu dengan ketinggian 4.20m itu bagaimanapun yakin, Sarah mampu bangkit seterusnya melakarkan rekod baru acara berkenaan.