PENYERANG Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah, menafikan kritikan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner, yang mendakwa dia enggan mengambil penalti ketika kekalahan kepada KL City FC, Ahad lalu.

Menurut pemain kelahiran Ghana itu, dia diletakkan sebagai pengambil sepakan terakhir oleh pembantu jurulatih, Badrul Afzan Razali sejurus wisel penamat 120 minit ditiupkan.

“Saya mengalami kecederaan pada minit-minit akhir sehinggakan lutut tidak boleh dibengkokkan.

“Bukan tidak mahu mengambil sepakan penalti tetapi saya perlukan sedikit masa kerana kesakitan itu masih terasa.

“Bagi meredakan rasa sakit, jurulatih Bad (Badrul Afzan) senaraikan saya pada sepakan terakhir,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN di sini, semalam.

Kesebelasan utama pasukan Terengganu FC ketika beraksi di peringkat separuh akhir Piala FA 2023, Ahad lepas.

Dalam aksi separuh akhir Piala FA itu, Sang Penyu tunduk 2-4 menerusi penentuan penalti selepas sepakan Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi diselamatkan penjaga gol.

Steinbruckner dalam sidang medianya kemudian menyelar sikap ‘penakut’ beberapa pemain untuk tampil mengambil sepakan penalti berkenaan.

Antara pemain yang disebut jurulatih terbabit adalah Mintah selain dua lagi pemain gantian, Mohd. Faiz Nasir dan Hakimi Abdullah.