FOTO : PERAK FC

DUA perlawanan persahabatan antarabangsa diatur Perak FC bagi memastikan tahap keserasian dan persefahaman pasukan berada pada tahap terbaik sebelum menyambung baki aksi Liga Super 2023.

Menurut pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah, perlawanan di Samarinda, Indonesia minggu ini dapat dijadikan panduan terbaik dalam menyusun semula strategi, permainan serta taktikal pasukan.

“Apa yang saya harapkan adalah para pemain dapat mengambil peluang dan pengalaman dengan adanya perlawanan persahabatan antarabangsa ini.

“Terutamanya para pemain muda yang saya bawa ke sana (menunjukkan karakter sebenar atas padang),” katanya kepada FLASH SUKAN pada Selasa.

Ditanya adakah setiap pemain mendapat peluang diturunkan nanti, jurulatih asal Perlis berusia 47 tahun itu sedia memberi ruang kepada anak buahnya mempertingkat kemahiran bermain suasana dalam pentas antarabangsa.

“Sudah pasti semua akan dapat beraksi nanti di sana, kerana pihak pengurusan Perak FC telah mengatur dua perlawanan untuk kami,” katanya berharap mereka mendapatkan keputusan positif di Stadium Segiri.

Mengikut jadual dikongsikan laman rasmi kelab, Perak akan menghadapi pasukan Liga 3 Indonesia, Serpong City FC  yang berpusat di Serpong Utara, Tangerang Selatan, Banten pada Khamis.

Pasukan Yusri dijangka melengkapkan jelajah di Kalimantan berdepan Borneo FC Samarinda yang merupakan pendahulu Liga 1 Indonesia, dua hari kemudian.

Pertembungan itu antara perjanjian kerjasama yang dimeterai di antara kedua-dua pasukan di Ipoh baru-baru ini merupakan usaha untuk meningkat kualiti bola sepak di rantau ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Perak FC uji kekuatan dua kelab Indonesia di Samarinda

Prestasi Perak musim ini boleh dianggap baik meskipun berada di kedudukan kesembilan Liga Super, terutamanya sejak pengambilalihan Yusri daripada pengemudi terdahulu, Datuk Lim Teong Kim.

Malah, skuad jolokan Kejor Yob Kejor juga mencipta sensasi meneruskan kemaraan menumbangkan pasukan besar seperti Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC sebelum terkandas di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.