PENGANJUR Hari Olimpik, MY Creative Moments yang tampil memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul pada majlis pelancaran pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 di sebuah pusat beli-belah di sini, Ahad lepas, berjanji akan belajar daripada kesilapan berkenaan.

Pengarah Urusannya, Wong Kang Woon, berkata majlis pelancaran itu adalah sebahagian daripada aturcara kemuncak sempena sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024.

“Kami menganjurkan Sambutan Hari Olimpik Sedunia selama tiga hari bermula Jumaat, Sabtu dan seterusnya kemuncaknya pada hari Ahad dan diwarnai dengan majlis pelancaran pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Penganjur bersama pihak MOM sepakat tentang perkara ini.

“Objektif kami ialah mengkomersialkan Hari Olimpik Sedunia sebagai satu platform mempromosi fungsi dan tanggungjawab MOM sebagai badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan yang mendaftar dan mengirus Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa..

“Kami juga mencetuskan kempen Sokong Kontinjen Malaysia dengan menawarkan tiket ke Paris bagi mana-mana individu terpilih yang membeli baju khas Sokong Kontinjen Malaysia di ‘OlympicMAS’ Tik Tok Shop.

“Kempen Sokong Kontinjen Malaysia juga berjaya kerana kami menjual lebih 4,000 helai baju Sokong Kontinjen Malaysia dan pemenangnya sudah diumumkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kesilapan sama tidak akan diulangi semula kemudian.

Tambahnya, sambutan Hari Olimpik Sedunia itu kali pertama diadakan di depan khalayak ramai di pusat membeli-belah sebagai antara usaha membantu MOM mempromosi penyertaan Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.

“Kami mencetuskan idea ini dan mendapat mandat MOM tanpa menggunakan dana badan itu sebaliknya kami sebagai pihak ketiga dibenarkan mencari penaja sendiri, dan spekulasi bahawa kami dibayar untuk menganjurkan sambutan itu tidak benar kerana kami yang mengeluarkan pelaburan dengan jumlah agak besar,” katanya.

Wong terdahahulu dalam satu kenyataan di media sosial MyCreative Moments memohon maaf kepada MOM, Kementerian Belia dan Sukan serta peminat sukan negara atas sebarang kekeliruan yang timbul pada majlis pelancaran tersebut.