KEJOHANAN Futsal Liga Sukan Uniti (FLSU) 2023 anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bermula di beberapa lokasi pada Sabtu lalu bersempena dengan sambutan Hari Malaysia ke-60.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, ia sebahagian daripada program Liga Sukan Uniti anjuran KPN yang turut membabitkan tiga sukan lain iaitu badminton, bola keranjang dan bola jaring.

“Bagi sukan futsal, FAM dipertanggungjawabkan untuk pengelolaan kejohanan FLSU 2023 yang mana FAM telah bekerjasama dengan ahli-ahli gabungannya bagi penganjuran di setiap negeri masing-masing.

“Kejohanan FLSU 2023 bagi peringkat negeri di Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Johor dan Sabah telah pun berlangsung pada 16 September lalu.

“Ia bakal disusuli saingan di Kedah dan Labuan pada 23 September ini, Kuala Lumpur/Putrajaya pada 24 September, seterusnya Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Sarawak pada 30 September serta Perlis pada 1 Oktober dan Melaka pada 7 Oktober 2023,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noor Azman Rahman, Setiausaha Agung FAM

Setiap negeri yang menjadi penganjur FLSU 2023 itu diberikan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk mengelolakan kejohanan ini.

Juara bagi setiap saingan peringkat negeri ini seterusnya layak beraksi di kejohanan FLSU 2023 peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung pada November depan.

Tambah Noor Azman, penganjuran FLSU 2023 adalah bertujuan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia menerusi sukan yang mana bagi setiap pasukan bertanding, mereka diwajibkan menyenaraikan sekurang-kurangnya dua orang pemain berbangsa lain dalam senarai lapan pemain yang didaftarkan.

“FAM berterima kasih kepada ahli-ahli gabungannya atas kerjasama dan sokongan dalam penganjuran FLSU 2023 di peringkat negeri masing-masing demi menjayakan usaha yang diinisiatifkan oleh KPN ini.
“Semoga penganjuran FLSU 2023 ini mencapai objektifnya,” katanya lagi