PERSATUAN Baseball Malaysia (BFM) menganggap kejayaan mereka menganjurkan Kejohanan Liga Baseball Kebangsaan (NBL) 2023 adalah satu pencapaian cemerlang selepas menunggu lebih dari 11 tahun untuk penganjuran ini.

Presiden BFM, Sazali Husain turut mahu menggunakan liga baseball ini sebagai medan mencari bakat-bakat baharu yang bakal mewakili negara seterusnya menjadi pencabar di peringkat antarabangsa.

Liga Baseball Kebangsaan yang disertai lapan pasukan negeri pada tahun pertama penganjuran turut mendapat perhatian penaja apabila menerima banyak tajaan dari syarikat-syarikat tempatan yang turut sama membantu membangunkan sukan ini.

Presiden BFM, Sazali Husain

“Sudah pasti apa yang dinantikan BFM sudah ada di depan mata jadi amat bangga terutama selepas keluarga baseball menanti lebih 11 tahun untuk melihat sendiri liga baseball tempatan.

“Dengan kehadiran para penaja, akhirnya liga ini terlaksana dan kini kita menantikan bakat-bakat baharu dan pemain yang menyerlah untuk tampil bagi menjadikan Malaysia sebagai pencabar di peringkat antarabangsa.

“Objektif liga ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran ramai kepada sukan ini. Ramai peminat sukan ini meskipun sukan ini baharu. Selain itu kami mahu memberikan semua penggiat sukan ini bergiat aktif kerana dengan adanya liga akan ada jurulatih, pemain dan penyokong serta sudah pasti akan mendapat tempat di kalangan orang ramai selepas ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

 

Sazali juga meletakkan sasaran lima tahun dari sekarang untuk menyaksikan pemain-pemain baharu yang dihasilkan dari NBL ini mampu membawa nama Malaysia dengan Sukan Sea di Thailand pada 2025 adalah medan terbaik mengukur kemajuan pasukan.

“Untuk menjadi pencabar di peringkat antarabangsa mungkin tidak sekarang tetapi dengan adanya liga ianya akan timbul kesedaran serta kehadiran pemain import nampaknya mereka menunjukkan aksi yang baik dan mengajar pemain tempatan untuk lebih maju. Ini adalah langkah yang baik dan mungkin dalam lima tahun kita mampu berikan persembahan yang lebih baik.

“Kita lihat untuk peringkat Asia Tenggara, Sukan Sea 2025 adalah medan terbaik untuk melihat persembahan pasukan kebangsaan hasil dari pemain-pemain baharu yang lahir dari liga ini,” tambahnya.

Antara aksi Liga Baseball Kebangsaan (NBL)

Sazali turut tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan liga wanita tetapi buat masa ini fokus mereka kepada NBL dan akan melakukan kejohanan secara karnival untuk pasukan wanita selepas berakhir liga ini.

“Kita banyak menerima soalan daripada pasukan wanita kerana mereka mahu beraksi di liga tertinggi di Malaysia. Kami mungkin tidak melaksanakan liga setakat ini tetapi mungkin dalam konsep karnival kerana masih belum banyak pasukan baseball wanita,” jelasnya.

Peringkat kumpulan Liga Baseball Kebangsaan 2023 akan berlangsung dari 10 Jun hingga 25 Jun manakala perlawanan akhir bakal berlangsung pada 27 Julai untuk menentukan juara sulung kejohanan ini.