PENGARAH senior di Barcelona telah memberikan sedikit gambaran yang gergasi Catalan itu mungkin berminat untuk mendapatkan Jurgen Klopp sebagai pelatih baharu selepas dia meninggalkan Liverpool.

Kedua-dua kelab bakal mempunyai pengurus baharu pada permulaan musim hadapan selepas Xavi turut mengikut jejak Klopp meletakkan jawatan pada penghujung musim 2023-24 .

Pengendali Jerman itu telah dikaitkan dengan tugas pengurus di Camp Nou dan Pengarah Sukan Barca, Deco telah mengulas mengenai perkara ini menerusi akhbar La Vanguardia.

“Klopp adalah jurulatih yang bagus tetapi saya rasakan ini bukanlah saat yang terbaik untuk bercakap mengenainya. Kami mempunyai banyak pilihan dan siapa bakal menjadi ketua jurulatih akan dibincangkan kelak,” katanya.

Meskipun Deco menegaskan sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk berbincang mengenai Klopp, dia secara tidak langsung memberikan bayangan menerusi komen ini yang mencadangkan Klopp adalah salah satu calon untuk mengendalikan Barcelona.

Mana-mana pssukan bola sepak di dunia ini sudah pasti mahukan khidmat pengendali berusia 56 tahun itu berdasarkan rekod baiknya bukan sahaja bersama-sama Liverpool tetapi juga Borussia Dortmund dan Mainz sebelum ini.

Spekulasi tentang masa depan Klopp tidak dapat dielakkan selepas dia mengesahkan akan meninggalkan Anfield namun dia masih mengekalkan sikap profesionalnya dengan hanya fokus kepada Liverpool sehingga perlawanan terakhirnya musim ini.

Namun begitu, alasan yang diberikan Klopp untuk mengembalikan semula tenaganya sebagai sebab meninggalkan Liverpool mungkin juga akan menjadi penghalang buat Barcelona mendapatkan khidmatnya kerana dia sedar bukan mudah untuk memuaskan hati para penyokong.

Ianya mungkin berlaku tetapi bukan serta-merta selepas dia mengakhiri tugasannya dengan Liverpool.