MESUT Ozil mengkritik peraturan kad biru yang akan dikuatkuasakan dalam perlawanan bola sepak yang melibatkan Atletico Madrid.

Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) akan menguji peraturan baharu iaitu mengenakan kad biru selain kad kuning dan merah dalam perlawanan bola sepak.

Kad biru berfungsi untuk memberi amaran daripada pengadil kepada pemain yang melakukan pelanggaran terutama disebabkan perselisihan antara pemain atau pelanggaran.

Pemain yang menerima kad biru akan dihukum dengan dikeluarkan dari padang selama 10 minit sebelum memasuki padang semula.

Walau bagaimanapun, jika pemain mendapat dua kad biru dalam satu perlawanan, dia akan diberi ‘ganjaran’ kad merah.

Rancangan untuk melaksanakan peraturan baharu ini mendapat kritikan daripada Mesut Ozil. Ozil menyindir kelab Atletico Madrid, yang terkenal dengan corak permainan yang gigih dan keras.

“Jadi Atletico Madrid hanya akan bermain dengan enam pemain?” kata Ozil yang dipetik dari akaun media sosial X miliknya selepas me-retweet akaun One Football, pada Khamis.

 

Peraturan kad biru ini telah diuji dan dianggap berjaya apabila digunakan dalam bola sepak amatur dan remaja di England dan Wales. IFAB juga telah memberi kebenaran untuk melanjutkan tempoh percubaan bagi peraturan kad biru di peringkat senior.

Bagaimanapun, perkembangan ini dinafikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menerusi satu kenyataan media yang dibuat beberapa jam lepas.

“Fifa ingin menjelaskan laporan tentang kad biru dalam pertandingan bola sepak elit sebagai tidak betul dan terlalu awal.

“Sebarang percubaan jika dilaksanakan sekalipun patut dihadkan kepada pengujian dengan cara yang bertanggungjawab dalam pertandingan peringkat rendah, satu kedudukan yang akan ditegaskan Fifa dalam mesyuarat agung IFAB pada 2 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan di X.