KETUA jurulatih Bahrain, Juan Antonio Pizzi kini bakal mencari ramuan terbaik untuk mencari kemenangan apabila bertemu Malaysia pada Sabtu bagi membuka semula peluang untuk layak ke peringkat 16 terbaik Piala Asia 2023.

Ini selepas skuad Dilmun Warriors tewas 1-3 kepada pasukan pilihan, Korea Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan E dan sebarang keputusan negatif ketika berhadapan Malaysia akan menunjukkan jalan keluar buat Bahrain dari kejohanan.

Pizzi juga sedar ianya bukan perkara yang mudah kerana Malaysia juga mahu mendapatkan tiga mata selepas dibelasah Jordan 4-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan E dan pertemuan pada Sabtu itu bakal menjadi perlawanan yang cukup menarik buat kedua-dua pasukan.

“Saya berpuas hati dengan semua pemain dan ini adalah tanggungjawab yang besar buat saya sebagai ketua jurulatih untuk memilih pemain terbaik dan saya rasakan kami sudah memilih pemain yang terbaik dari Liga Bahrain.

“Pemain Korea Selatan berada pada tahap yang lebih tinggi dan sangat sukar untuk mengurangkan dominasi teknikal mereka kerana ianya meletihkan pemain ketika kami cuba untuk menyaingi mereka dan sememangnya mereka lebih baik dari kami secara keseluruhan.

“Kini kami akan cuba mencari jalan dan memikirkan sesuatu bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik pada perlawanan akan datang menentang Malaysia,” katanya.

Anak-anak buah Pizzi berjaya mengikat Korea Selatan 1-1 pada babak pertama tetapi kebijaksaan individu menerusi dua gol dari Lee Kang-in memberikan kekalahan pertama Bahrain dalam kejohanan kali ini.