KEDUA-DUA pengendali Malaysia dan Oman jelas tidak berpuas hati dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dikhabarkan masih dalam keadaan yang tidak baik sekali gus menjadikan isu padang sebagai tumpuan utama.
Malaysia dan Oman akan bertemu untuk perlawanan keempat Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil namun keadaan padang di ‘Home of Harimau Malaya‘ itu masih menjadi tanda tanya.
Tambah mengeruhkan keadaan, sesi latihan rasmi yang sepatutnya berlangsung di stadium itu ditukar dengan Malaysia akan berlatih di Wisma FAM manakala Oman diberikan Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai venue latihan rasmi pada Isnin.
Bercakap dalam sidang media pra perlawanan di Wisma FAM, Pan-gon menuntut keadaan padang yang baik selepas dia dijanjikan oleh kontraktor bahawa padang stadium itu akan dalam keadaan baik pada hari perlawanan ketika dia dan FAM melakukan lawatan pada awal Mac.
ARTIKEL BERKAITAN: KPG belum puas hati keadaan padang SNBJ
“Mengenai padang, saya belum lihat lagi tetapi kontraktor telah janji akan bagi padang yang terbaik pada hari perlawanan jadi kami perlukan padang yang baik, harap esok kami dapat lihat padang yang bagus,” katanya.
Pengendali Oman turut meluahkan rasa tidak puas hatinya namun tidak ada apa yang dapat dia lakukan dan mahu para pemainnya bermain sehabis baik dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Kami mengetahui cuaca di Malaysia sering hujan lebat, berikutan itu kami mendapat maklumat keadaan padang tidak bersedia untuk perlawanan esok dan turut dimaklumkan tidak boleh berlatih di padang terbabit dengan situasi sama turut membabitkan pasukan Malaysia dan ini adalah perkara yang tidak baik untuk kedua-dua pasukan,” tegasnya.
Isu padang di Stadium Nasional Bukit Jalil ini bukanlah isu baharu namun ia kelihatan tidak menemui jalan penyelesaian meskipun telah mendapat tajaan penukaran rumput dari Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada 2023.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemangku Sultan Johor tegur mentaliti mahu jatuhkan standard Liga Malaysia
Tunku Mahkota Ismail turut menyindir keadaan padang itu menerusi hantaran yang dibuat di instastory peribadinya dan menyelar individu yang mempunyai mentaliti bodoh sombong yang sentiasa mahu menjatuhkan standard Liga Malaysia.