JURULATIH Sarawak United FC,  S. Balachandran memuji komitmen yang ditunjukkan oleh para pemainnya meskipun tersingkir dari saingan Piala Malaysia 2022 apabila tewas 2-1 secara aggregat kepada Kelantan FC.

Dia turut menyatakan para pemainnya sudah menunjukkan permainan yang baik dengan mengikuti taktikal yang telah diterapkan namun tidak bernasib baik untuk layak ke suku akhir.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan yang berjaya layak ke suku akhir. Pemain saya bermain dengan baik dan mengikuti taktikal yang telah dirancang dengan bermain sedikit bertahan kerana bermain di tempat lawan.

“Bukan senang bermain di Kelantan dan saya ‘respect’ semua pemain di dalam padang. Kami sepatutnya menang ketika di Kuching dan apabila kami tidak mengambil kesempatan di tempat sendiri kami akan dihukum di tempat lawan tetapi inilah bola sepak.

“Kami melepaskan gol hasil kesilapan sendiri sebelum kami berjaya menyamakan kedudukan dan pada separuh masa kedua kami banyak mencipta peluang jaringan secara aggresif.

“Saya mahu memberikan pujian kepada para pemain kerana memberikan lebih 100 peratus komitmen dalam perlawanan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya bersyukur apabila pasukan kendaliannya berjaya layak ke suku akhir bertemu Johor Darul Ta’zim.

“Alhamdulillah kita berjaya layak ke suku akhir dan saya ucapkan tahniah kepada para pemain dengan usaha mereka yang bermain mati-matian dan bersungguh-sungguh. Masih banyak perkara perlu diperbaiki tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati,” katanya.