TINDAKAN penggantungan atlet lompat tinggi wanita negara, yang gagal dalam ujian doping, tidak memberi kesan besar kepada skuad negara untuk mencapai lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.
Jurulatih yang juga bekas jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei yakin, ramai lagi atlet Malaysia mampu menyinar sekiranya program mencungkil bakat baharu dilakukan dengan baik.
“Untuk layak ke Sukan SEA, kategori lelaki dan wanita sepatutnya tidak ada masalah. Di peringkat Asia Tenggara sekarang, kategori lelaki mungkin agak susah sikit tetapi bagi kategori wanita kita ada peluang.
“Perlu cari dan fikir bagaimana mahu gilap bakat-bakat baharu. Memang ada rasa kebimbangan tetapi sekarang kita buatlah apa yang boleh kita buat,” katanya, ketika ditemui pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan.
Pada Rabu, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mengumumkan seorang atlet lompat tinggi kebangsaan yang dipercayai Ngu Jia Xin disahkan positif doping dan dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada menyertai sebarang kejohanan bermula 2 Jun lalu hingga 1 Jun 2025.
Perkara itu turut disahkan Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk R.Annamalai yang memaklumkan atlet wanita itu akan membuat rayuan terhadap hukuman ke atasnya.
“Keseluruhan proses telah dijalankan dengan telus dan mengikut
Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM),” kata Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menerusi satu kenyataan, semalam.