KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah melihat daripada sudut positif mengenai insiden kad merah kapten pasukan, Luciano Guaycochea pada aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC malam tadi.

Menurutnya, walaupun kehilangan tonggak utama itu, namun dia optimis untuk memberi peluang kepada pemain lain untuk beraksi pada perlawanan akan datang.

Walau bagaimanapun dia mahu pemainnya mengambil iktibar daripada kejadian itu.

“Insiden kad merah ini, kita amat sedih sebab Perak bukan pasukan yang kuat, tapi kita lihat mungkin ada kebaikan.

Luciano Guaycochea menjaringkan dua gol untuk Perak sebelum dikenakan kad merah.

“Harap pemain lain terus berjuang, harap insiden ini jadi ‘turning point‘, kita cuba,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Guaycochea juga menjaringkan dua gol untuk memastikan tiga mata dibawa pulang ke Ipoh, dikenakan kad merah selepas melengahkan masa perlawanan pada minit-minit akhir saingan, sebelum ini dia menerima kad kuning pertama selepas membuat terjahan keras ke atas Oday Kharoub pada minit ke-27.

Guaycochea terlepas aksi seterusnya The Bos Gaurus menentang Kuching City FC di Stadium Perak, Selasa ini.

Mengulas kemenangan pasukan, Yusri berkata, mereka tidak bermain terlalu baik namun ‘berada’ dalam perlawanan sepanjang 90 minit menentang skuad Kijang Emas itu.