ATLET terjun negara bakal mengharungi satu cabaran baharu pada Olimpik Paris 2024 nanti setelah mengesahkan bahawa mereka akan menggunakan papan anjal terbaharu daripada versi sebelum ini.
Penerjun harapan negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui hal sedemikian dan menganggap dia perlu segera mengadaptasi teknikal papan anjal tersebut sebelum tiba hari kejohanan sebenar nanti.
Oleh itu, Dhabitah dan seorang lagi atlet terjun muda lelaki negara, Bertrand Rhodict Lises akan terbang ke London pada 8 Julai ini untuk memulakan latihan menggunakan papan anjal yang baharu itu.
“Kita akan berlatih di sana dua minggu dan akan terus ke Paris sebab kita akan sesuaikan diri dengan perbezaan waktu, fasiliti papan anjal yang baru. Di sana adalah sistem yang baru yang kita di sini masih guna yang lama (papan anjal). Nak menyesuaikan diri dengan papan baru itu mengambil masa juga.
“Jadi saya rasa untuk berlatih di London itu adalah sangat bagus dan masa yang begitu terbaik untuk ke Olimpik Paris kerana saya dapat biasakan lebih awal.
“Sebab itu, teknik dan kualiti terjunan amat penting untuk seseorang atlet itu kerana papan anjal yang digunakan kali ini sangat berbeza dengan yang sebelum ini,”katanya selepas Majlis pengumuman penajaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pada Khamis.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akhirnya dapat menarik nafas lega apabila terdapat wakil negara dalam sukan terjun bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.