PENGGUNAAN Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia termasuk ketika final Piala Malaysia pada 26 November 2022 tidak akan digunakan masa terdekat atas pelbagai faktor.
Para peminat bola sepak tempatan teruja apabila perlawanan akhir Piala AFC yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu mencipta sejarah apabila teknologi VAR digunakan buat pertama kali di Malaysia dan mendesak MFL untuk menggunakannya pada Liga Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam menjelaskan ianya juga tidak adil jika teknologi ini hanya digunakan hanya untuk satu perlawanan sebagai contoh perlawanan akhir Piala Malaysia sebaliknya memerlukan masa untuk teknologi itu digunakan dengan sempurna.
“Isu VAR ini adalah bukan semata-mata untuk kita adakan dalam satu perlawanan sahaja. Banyak perkara yang perlu dilihat termasuklah perlu melatih pengadil menggunakan teknologi itu selain masalah infrastruktur stadium dan kos.
“Ada kalanya kita menghadapi masalah rangkaian di stadium dan perkara seperti ini perlu diperbaiki dahulu sebelum kita boleh menggunakan VAR. Jika kita hanya menggunakan teknologi ini di Stadium Bukit Jalil sahaja ianya tidak adil.
“Kita perlu lihat juga keadaan stadium seperti di Alor Star, Kota Bharu ataupun di Stadium Sultan Ibrahim atau dimana-mana sahaja untuk memastikan penyediaan infrastruktur.
“Perkara ini memerlukan masa kerana kebanyakan stadium bukan hak milik pasukan tetapi hak milik perbadanan stadium ataupun mungkin kerajaan negeri. Atas sebab itu kita perlukan masa untuk pelaksanaan VAR ini dijalankan secara sempurna dan bukan semata-mata untuk satu perlawanan sahaja,” katanya dalam sidang media selepas majlis pengenalan penaja baru.
Selain itu, Stuart turut menjelaskan ketika ini MFL dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang mengambil pendekatan untuk mempertingkatkan lagi keupayaan pengadil selain mengambil inisiatif lain dalam usaha memastikan mutu pengadilan di liga domestik termasuk aksi final tidak berhadapan sebarang masalah.