KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu memperhalusi semua prosedur operasi standard (SOP) dan ‘red tape’ yang terpaksa ditempuh penggiat industri sukan sekaligus membantu sukan menjadi menyumbang kepada perkembangan ekonomi.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh menteri, Hannah Yeoh ketika sidang media sejurus berakhir majlis Townhall Bersama Industri Sukan di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.
Menerusi majlis Townhall itu, KBS menerima lima isu utama daripada penggiat industri dan langkah seterusnya akan diambil pihak kementerian bagi memastikan kesemua penggiat industri sukan mendapat manfaat dan lebih mudah untuk menganjurkan sebarang acara berkaitan sukan.
Lima isu yang diterima KBS adalah isu penganjuran sukan, insentif cukai, skim insurans yang mahal, hubungan khas KBS dan PBT serta kerjasama antara persatuan sukan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Hannah menerusi sidang media itu mahu perkara ini diperhalusi dan membantu penggiat industri sukan dan bukannya kelihatan menghukum mereka seperti yang dialami selama ini.
“Sesi townhall kelima bersama penggiat industri sukan dan ianya dihadiri 297 peserta melebihi jangkaan awal 200 peserta dan ini adalah petanda positif yang ditunjukkan oleh penggiat sukan yang memerlukan bantuan KBS untuk menyelesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan sendiri.
“KBS kini berhasrat untuk menggunakan data sebelum membuat sesuatu polisi dan kita akan usahakan konsep data terbuka untuk membantu sektor industri sukan.
“Akses kepada data itu sangat penting dan ianya juga perlu dikongsi kerana dengan data penaja boleh membuat perancangan dan lebih bersasar. KBS mahu rangkaikan semua industri sukan bersama kerana dengan pengurangan ‘red tape’ ini akan menjimatkan masa dan masa itu adalah duit,” katanya.
Majlis Townhall itu turut dihadiri wakil daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.