ATLET para renang, Carmen Lim menjadikan malam Anugerah Sukan Negara 2022 sebagai sesuatu yang bermakna buatnya pada tahun ini setelah dinobatkan sebagai Olahragawati Paralimpik 2022.

Carmen juga memberikan penghargaan kepada jurulatihnya yang telah membantu dia agar bangkit selain menjadikan ianya sebagai permulaan untuk melakukan dengan lebih baik selepas ini.

Carmen Lim bersama piala Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

“Semestinya ia sesuatu yang bermakna apabila menjadi Olahragawati Paralimpik tahun ini. Saya rasa, rakan-rakan saya yang turut disenaraikan juga layak untuk menerima penghargaan ini.

“Saya sangat bertuah dan bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat bagus dan jurulatih saya sangat membantu saya untuk mendapatkan semula semangat bersaing dan saya harap ini adalah permulaan untuk saya melakukan dengan lebih baik selepas ini,” ujar Carmen kepada FLASH SUKAN.

 

Ketika ditemui dalam majlis Anugerah Sukan Negara, anak muda itu memberitahu akan terbang ke Manchester United pada minggu depan bersama pasukannya bagi Kejohanan Renang Para Dunia dan akan melakukan sehabis baik sebagai usaha memecahkan rekod masa terdahulu.

Dalam masa yang sama, Carmen berkata sekiranya tidak berjaya mencapai apa yang disasarkan, dia tetap akan berlatih dan memperbaiki persembahannya serta berharap untuk terus ke pusingan kelayakan tahun hadapan.

Ketika diminta memberi kata-kata semangat untuk rakan-rakan lain, Carmen yang berusia 23 tahun mengakui, perjalanan untuk mendapatkan penghargaan seperti itu bukanlah satu perjalanan yang mudah namun cukup menjadikan ianya sebagai liku-liku menjadi seseorang yang berjaya.

“Jangan putus asa, saya tahu perjalanan ini boleh menjadi terlalu sukar. Tipulah kalau saya cakap saya tak pernah gagal kerana ianya bukan satu perjalanan yang mudah. Saya rasa ianya satu perkara yang perlu diingati.

“Saat itu akan menjadikan awak seseorang yang mampu untuk berjaya dalam apa yang awak lakukan dan teruskan melangkah,” ujarnya.

Anugerah Sukan Negara (ASN) yang diadakan di Grand Dorsett, Subang pada Isnin turut dihadiri oleh YDP Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh, Timbalan Menteri KBS, YB Adam Adli, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Datuk Seri Norza Zakaria, dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D.Shahriman.