PELUMBA Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvaphat meraikan kemenangan berganda dalam satu hujung minggu untuk kategori perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK1000) A Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada Ahad.

Semasa Perlumbaan 2, Azroy Hakeem Anuar dari Boon Siew Honda Racing Team mendahului dengan Nakarin mengekori rapat di belakang.

Manakala, Lechlan Epis dari Savitar ESG Asia yang berada di P3 dengan sabar mengekalkan kedudukannya sambil diasak oleh Azlan Shah Kamaruzaman dari Horizon Racing Team dan Kasma Daniel Kasmayudin dari Yamaha Tekhne Racing Team Asia.

Kedudukan tiga pelumba teratas kekal sama sehingga pusingan terakhir, Azroy terbabas dan menyaksikan Nakarin memenangi perlumbaan hasil catatan 21’23:707s.

 

“Perlumbaan kali ini amat mencabar disebabkan oleh cuaca panas yang melampau, yang menjadikan setiap pusingan sebagai ujian ketahanan. Kelajuan Azroy sangat mengagumkan.

“Dia memacu dengan kuat, dan saya berusaha sedaya upaya untuk mengejarnya mulai dari pusingan ke-5. Saya merasakan inilah had kawalan saya dalam keadaan semasa ini.

“Jika saya menekan lebih kuat, mungkin saya akan berisiko terjatuh seperti yang berlaku pada Azroy.

“Walau bagaimanapun, perlumbaan ini merupakan pengalaman pembelajaran yang sangat berharga, memberikan pandangan penting yang akan membantu saya membuat persiapan untuk perlumbaan ARRC yang akan datang di sini.

“Saya tidak sabar untuk menerapkan pelajaran ini dan terus meningkatkan prestasi pada masa depan,” katanya selepas perlumbaan.

Azlan menduduki tempat kedua dengan catatan 21’28:185s manakala Kasma kedudukan ketiga 21’30:780s.