PENGURUSAN Kelab Bola Sepak Melaka United FC (MUFC) tampil memohon maaf kepada semua pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Ia gara-gara Melaka United tidak dibenarkan beraksi susulan kegagalan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Keputusan itu dibuat Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Rabu selepas pasukan Liga Super itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji mengikut tarikh ditetapkan.

“Pihak pengurusan  mengambil iktibar daripada isu ini dan akan terus memandang ke hadapan bagi memastikan MUFC memperoleh lesen bagi menyertai Liga Malaysia 2023.

“Kelab masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dan percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak berkepentingan bersama-sama membantu dalam memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang akhirnya menjamin kelestarian kelab,” kata kenyataan rasmi kelab itu.