TIGA perkara yang sering menjadi perdebatan antara penyokong bola sepak tempatan ketika mana-mana perlawanan akhir adalah padang, pengadil dan kawalan penyokong yang seakan-akan tidak pernah dipandang serius oleh pihak berwajib.

Kita sudah tidak mahu mengulas isu padang dan pengadil kerana perkara sudah berlalu dan sudahpun dibahas sebelum ini namun sistem kawalan penyokong masih di takuk lama dan berbahaya.

Tidak mahu menuding jari kepada sesiapa tetapi pengurusan stadium di Malaysia terutama yang melibatkan kawalan penyokong yang ramai tidak pernah mengambil iktibar kepada Tragedi Kanjuruhan yang berlaku di Indonesia.

Tragedi Kanjuruhan yang terjadi di Stadium Kanjuruhan Malang menyaksikan ratusan penyokong terkorban akibat panik dan terpijak serta sesak nafas selepas gas pemedih mata dilepaskan oleh pihak keselamatan.

Lebihan jualan tiket, stadium yang penuh sesak hingga menghalang laluan keluar serta pagar besar yang tidak dibuka selepas perlawanan berakhir sebenarnya mengundang perkara tidak diingini berlaku namun kita masih bersyukur kerana masih belum ada tragedi yang melanda penyokong bola sepak negara.

Tinjauan FLASH SUKAN ketika final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC pada Jumaat menyaksikan keadaan penyokong yang padat hingga memenuhi tangga terjadi di bahagian penyokong skuad Penyu.

Dengan tiket bernombor yang tidak dipatuhi, penyokong bertolak-tolak dan berlari mencari tempat duduk terbaik sejurus pagar stadium dibuka pada jam 5 petang, ianya mengundang insiden terpijak kerana semuanya dalam keadaan hilang kawalan.

Kehadiran marshall juga tidak membantu kerana mereka kelihatan ‘clueless‘ dan tidak boleh membuat keputusan sebaliknya hanya berdiri memerhati para penyokong bertelagah berkaitan nombor tempat duduk yang sudah diambil.

Keadaan ini memaksa ada penyokong yang perlu duduk di tangga dan ianya sangat berbahaya sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan pengosongan segera stadium dan ditambah pula dengan pagar besar yang tidak dibuka selepas perlawanan berakhir.

Perkara keselamatan ini bukanlah roket sains tetapi lebih kepada pengalaman hadir ke stadium sebagai penyokong. Maaf jika dikatakan kebanyakkan mereka yang memegang jawatan dalam pengurusan stadium tidak pernah hadir menyaksikan perlawanan bola sepak sebagai penyokong biasa tetapi lebih kepada penyokong jemputan VIP.

Diharap isu pengurusan penyokong ini diberi perhatian serius oleh pihak berwajib yang menguruskan stadium dan perlawanan akhir. Kita tidak mahu perkara buruk terjadi dan kemudian kita baru hendak menyesal bak kata pepatah, sudah terhantuk baru tergadah.