PENILAIAN prestasi atlet dalam program Road to Gold (RTG) nampaknya akan ditangguhkan lagi, apabila penyelaras program, Datuk stuart Ramalingam mengesahkan, mesyuarat jawatankuasa RTG hanya akan berlangsung selepas berakhir temasya Sukan Asia Hangzhou, di China, Oktober depan.
Stuart berkata, Sukan Asia Hangzhou yang berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober, melibatkan ramai atlet dari RTG selain turut menawarkan mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
“Mesyuarat akan berlangsung selepas Sukan Asia kerana selepas temasya berkenaan, banyak keputusan yang kita akan tahu… sedikit sebanyak pasukan atau atlet mana yang sudah layak (ke Paris 2024).
“Jadi ia masa yang sesuai untuk kita adakan mesyuarat selepas Sukan Asia dan dalam mesyuarat itu, kita boleh buat keputusan lebih kukuh mengenai pengguguran ataupun penambahan atlet,” kata Stuart, selepas Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022.
“Mungkin selepas Sukan Asia adalah masa terbaik untuk membuat penilaian. Ada beberapa lagi sirkit badminton dan juga Sukan Asia. Jadi saya percaya, atlet badminton masih ada banyak kejohanan untuk disertai.
“Hoki pula penting di Sukan Asia. Memenangi emas adalah sangat penting (untuk ke Paris 2024). Kami percaya hoki adalah adalah sukan berstandard dunia. Kita perlu sentiasa menyokong pasukan berprestasi dunia seperti hoki ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan keputusan mengenai sama ada berlaku pertambahan atau pengguguran atlet dalam RTG hanya akan ditentukan selepas mesyuarat jawatankuasa program, bulan depan.
Mesyuarat membabitkan penilaian prestasi semasa atlet, akan membabitkan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi.