PENILAIAN prestasi ke atas atlet dalam program Road to Gold (RTG) hanya akan dimulakan September ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga pengerusi bersama RTG berkata, penilaian itu akan dibuat dalam satu mesyuarat membabitkan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada bekas atlet seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi.

Menteri Belia dan Sukan memberitahu, penilaian atlet RTG akan dibuat Jawatankuasa yang terdiri daripada bekas atlet. -Pix KBS

 

“Seperti dinyatakan dalam mesyuarat lalu, kita akan membuat penilaian pada September ini. Kita akan bermesyuarat untuk melihat apakah perkembangan dan ranking terbaharu atlet dan kita akan dengar daripada penasihat dan ahli jawatankuasa berhubung prestasi terkini atlet, sama ada terlalu awal untuk menggugurkan mereka ataupun kita perlu buat pelarasan, jadi kita akan mendengar daripada mereka.

“Semua itu kita akan bincang dalam mesyuarat nanti,” kata Hannah kepada media selepas Majlis Perasmian Program ISN Inspire 2023 di Institut Sukan Negara (ISN), pada Selasa.

Tiga bekas atlet dengan pencapaian luar biasa, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi, berada dalam jawatankuasa RTG. -Pix KBS

Baru-baru ini, penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises muncul atlet pertama negara yang menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan setakat ini.

Ketika Betrand Rhodict yang tidak diberi perhatian sudah layak beraksi ke temasya Paris 2024, barisan atlet lain yang berada dalam program RTG, bukan hanya belum melayakkan diri, malah ada antara mereka langsung tidak menunjukkan potensi untuk bergelar juara sekali gus menghampiri matlamat perburuan pingat emas Olimpik pertama buat negara.

Bertrand Roddict mempamerkan aksi cemerlang di Fukuoka, Jepun, muncul atlet negara pertama layak secara merit ke Olimpik Paris 2024. -Pix Agensi

Antara atlet yang berada dalam senarai RTG adalah seperti pemain perseorangan profesional badminton negara, Lee Zii Jia, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri dan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang serta rakan seperjuangan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Untuk rekod, pada awal pembentukan RTG, seramai 15 atlet disenaraikan namun bilangannya telah ditambah dengan memasukkan pasukan hoki lelaki, badminton perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.