PEMAIN beregu campuran terbaik negara ketika ini, Tan Kian Meng yang bergandingan dengan Lai Pei Jing mengakui mula merasai tekanan untuk mempamerkan prestasi lebih baik selepas ini, berikutan peningkatan mendadak gandingan beregu campuran kelahiran Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Selepas mengharungi tiga kejohanan awal tahun ini, Kian Meng-Pei Jing masih kekal di ranking keenam dunia, namun prestasi di kejohanan berstatus Super 1,000, 750 dan 500 agak mengecewakan.
Gandingan itu kandas seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia dan India manakala hanya mampu mara ke pusingan kedua Indonesia Masters, Januari lalu.
“Bukan hanya saya, tapi kami (Goh Soon Huat-Shevon Lai) turut merasai tekanan apabila beregu dari BAM mempamerkan prestasi baik dan ranking dunia mereka naik mendadak.
“Tapi, apa berlaku ini adalah perkara positif dan sangat bagus. Kalau tidak, saya dan Soon Huat berada di zon selesa.
“Sekarang mereka mengejar, saya juga gembira kerana jika Malaysia mahu maju dalam beregu campuran, perlu ada lebih banyak gandingan, bukan hanya satu atau dua beregu sahaja,” kata Kian Meng, sambil mengakui jika negara memiliki lebih banyak pasangan berkualiti, tiada masalah untuk mendapatkan rakan sparring.
Mengakui bergelut dengan prestasi, Kian Meng bagaimanapun menegaskan dia tidak risau kerana cukup berpengalaman untuk bangkit.
“Saya rasa prestasi awal tahun ini adalah masalah diri sendiri, keyakinan agak terjejas tetapi saya pemain berpengalaman, yakin dapat bangkit dan kembalikan keyakinan itu,” katanya.
Kian Meng-Pei Jing menjalani latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas mereka disenaraikan dalam skuad berpasukan campuran yang menggalas cabaran ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC), yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) 14 hingga 19 Februari.
“Kami akan cuba yang terbaik bagi menghargai keputusan BAM memilih kami mewakili negara. Sememangnya kita berpeluang besar ke separuh akhir, tapi ini adalah kejohanan berpasukan, kita bergantung harap kepada semua pemain,” ujarnya.
Ketika Kian Meng-Pei Jing berada di tahap prestasi terumbang-ambing, satu lagi gandingan profesional, Soon Huat-Shevon juga masih terkapai-kapai.
Gandingan itu menyertai empat kejohanan awal tahun ini, kandas di pusingan pertama Terbuka India, pusingan kedua Terbuka Malaysia dan Thailand Masters, selain keputusan lebih baik mara ke suku akhir Indonesia Masters, namun kekal di ranking ketujuh dunia.
Ironinya, beregu dari BAM, yang baru digandingkan November tahun lalu, Chen Tang Jie- Toh Ee Wei dan Ho Pang Ron-Teoh Mei Xing pula memperbaiki kedudukan dari ranking lebih 150 kini memasuki kelompok 70 terbaik.
Tang Jie-Ee Wei masih segar dengan kejuaraan di Cabaran Antarabangsa Iran, mara ke pusingan kedua Terbuka India dan suku akhir Terbuka Malaysia, kini menduduki ranking ke-48 dunia.
Sementara Pang Ron-Mei Xing muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Iran, pusingan pertama Terbuka India dan pusingan kedua Terbuka Malaysia, kini menghuni ranking ke-65 dunia.