KEJOHANAN Muaythai Terbuka Negeri Kedah yang akan berlangsung di Kampung Paya Mat Inson, Pendang, pada 24 dan 25 Februari nanti dilihat sebagai landasan terbaik buat atlet Muaythai Kedah meraih pengalaman baharu.
Sebanyak 14 pertarungan sengit dan mendebarkan dapat disaksikan peminat dengan dibahagikan kepada tujuh aksi pada setiap malam semasa pertandingan.
Di samping itu, ia juga peluang mereka untuk meningkatkan prestasi diri, mengambil kira pembabitan ramai atlet handalan dari negara jiran, Thailand.
Pengurusan program melalui Persatuan Tomoi Kedah, Boon Sis Den Sing berkata, program ini dianjurkan bermatlamat mengutip dana pembelajaran sekolah bahasa Siam bagi kanak-kanak di sekitar sini.
“Sebahagian kutipan tiket disalurkan untuk dana sekolah dan pihak wat,” katanya.
Tambah Boon Sis, antara faktor kejohanan ini dianjurkan adalah bagi memastikan pembangunan akar umbi berterusan.
“Sasaran kami untuk mempamerkan sukan muaythai ke peringkat yang lebih tinggi serta mencungkil bakat remaja setanding atlet dunia, sukan muaythai kini juga amat digemari oleh remaja di Malaysia.
“Kepada peminat-peminat sukan muaythai atau sesiapa yang berminat untuk menyaksikan sendiri kejohanan ini boleh mendapatkan tiket berharga RM15. Kanak-kanak adalah secara percuma.
“Malah, ianya sudah lama tidak dianjurkan di Negeri Kedah dan saya mohon ambillah peluang ini untuk datang menonton beramai-ramai bersama keluarga, sahabat dan anda semua melibatkan peninju profesional dari Malaysia dan Thailand,” katanya.
Antara peserta negara mengambil bahagian adalah Hafiz Harimau Putih, Adam Raja Panah, Zul Boya Saka, Amirul Padi Mas dan A’mmarul Shafiq Bara Emas.