PENJAGA gol Selangor FC, Sam Somerville sedar dirinya tidak mempunyai ketinggian yang ideal sebagai penjaga gol, namun itu tidak mematahkan semangatnya kerana dia membesar dengan melihat idolanya, Iker Casillas beraksi cemerlang meskipun bertubuh kecil.
Atas sebab itulah dia sentiasa belajar cara-cara penjaga gol bertubuh kecil ini bagaimana ingin memaksimumkan kebolehan mereka walaupun tidak mempunyai ketinggian seperti penjaga-penjaga gol tradisional.
“Saya sentiasa sukakan penjaga gol yang bertubuh kecil seperti penjaga gol Sepanyol dan Real Madrid, Iker Casillas yang menjadi kegemaran saya ketika membesar dan juga penjaga gol Republik Ireland dan Newcastle United, Shay Given.
Saya sedar saya tidak mempunyai ketinggian 6 kaki 5 inci seperti Rahadiazli di Terengganu, jadi saya sentiasa melihat kepada penjaga gol yang bertubuh kecil dan melihat bagaimana mereka menggerakkan kaki dan menggunakan kepantasan berbanding ketinggian kerana ianya memberikan keyakinan buat saya untuk beraksi seperti mereka,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.
Sam yang bakal berusia 29 tahun pada Ogos sudah beraksi sebanyak lapan musim di Malaysia sejak berhijrah dari England dan berjaya mempamerkan aksi baik apabila diturunkan sama ada ketika bersama Johor Darul Ta’zim II, Penang FC dan kini bersama Selangor FC.
Dia turut gembira apabila berjaya digandingkan dengan dua penjaga gol legenda kebangsaan yang banyak mengajarnya menyesuaikan diri dengan keadaan permainan di Malaysia kerana ianya berbeza jika dibandingkan dengan bola sepak Inggeris.
“Di Malaysia, saya bertuah kerana beraksi bersama dua legenda penjaga gol, Khairul Azhan dan ketika saya bermula di JDT, saya dapat bersaing dengan Farizal Marlias yang membuatkan saya banyak belajar kerana corak permainan penjaga gol Inggeris berbeza dengan disini,” jelasnya.