MENJELANG saingan Piala Dunia Qatar 20 November depan, penjualan tiket kini mencecah angka tiga juta.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Piala Dunia FIFA, Colin Smith, 10 negara paling banyak membeli 2.98 juta tiket adalah Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, England, Mexico, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Argentina, Perancis, Brazil dan Jerman.
“Situasi ketika ini boleh dikatakan hanya sedikit tiket yang tinggal, atau juga ada perlawanan yang sudah kehabisan tiket,” kata Smith.
Sementara itu, Presiden FIFA Gianni Infantino dalam satu rakaman konferen berkata, 240,000 pakej hospitality telah terjual sepanjang Piala Dunia berlangsung.
Tiket hospitaliti membolehkan pemegangnya mengakses ke lounge mewah di stadium, kebebasan mendapatkan minuman keras dan hanya dicaj AS$34,300 (RM161,638) seorang untuk perlawanan separuh akhir dan akhir.
Qatar adalah negara terkecil pernah menganjurkan Piala Dunia, bersedia menerima kehadiran 1.2 juta pelawat sepanjang kejohanan itu berlangsung.
Difahamkan, ribuan pelancong akan menginap di negara berjiran dengan Qatar.
Pengarah Besar Jawatankuasa PEnganjur Piala Dunia Qatar, Yasir Al Jamal berkata, dua juta bilik untuk bermalam, habis dijual dan Qatar menambah 30,000 lagi bilik untuk pembeli tiket di saat akhir.
“Sistem ini dibuat bagi memastikan semua pembeli tiket dapat menikmati kemudahan yang selamat,” kata Yasir.
Sebanyak 31,000 bilik hotel di Qatar akan dihuni pasukan bola sepak, kakitangan pasukan dan pegawai Piala Dunia.
Penganjur turut menawarkan kemudahan apartmen, villa, kabin, khemah padang pasir dan tiga kapal cruise di Pelabuhan Doha.
Pasukan pertama akan tiba di Doha adalah Jepun yang dijangka tiba 7 November.