SELEPAS kemarau tiga tahun dari sebarang kejohanan domestik, kini Sukan Malaysia (Sukma) akan membuka gelanggang secara rasmi dari 16 hingga 24 September ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, DatukJana Santhiran Muniayan bersyukur kerana Sukan Malaysia kembali dibenarkan berlangsung seperti biasa setelah dunia berdepan dengan pandemik Covid-19 yang telah menyekat pelbagai aktiviti sukan dalam dan luar negara.
Kehadiran kontinjen dari pelbagai negeri termasuk negara Brunei Darussalam jelas bakal menghadirkan satu persaingan yang sihat dan mampu mengeratkan hubungan persaudaraan dengan negara Borneo tersebut.
Tambahnya, temasya Sukma ini adalah batu loncatan kepada setiap atlet untuk memperagakan segala kebolehan yang dimiliki sebelum menyerapkan atlet terbaik ke pentas yang lebih tinggi mahupun di peringkat dunia.
“Selepas hampir tiga tahun, penantian kita akhirnya sudah hampir berakhir. Masanya telah tiba untuk membuktikan segala usaha gigih dan pengorbanan selama ini diterjemahkan di gelanggang pertandingan bermula Sabtu ini.
“Dalam tempoh 10 hari mendatang, kita akan menyaksikan barisan atlet-atlet mempersembahkan aksi-aksi terbaik masing-masing demi mengejar kejayaan yang diidamkan.
“Saya yakin dan percaya, akan ada detik-detik indah bakal dicipta oleh lebih 7 ribu atlet yang akan menyertai 426 acara daripada 31 jenis sukan yang dipertandingkan.
“Di sebalik kegigihan dan semangat membara itu, saya menyeru semua pihak sentiasa mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan bertandinglah secara baik dan mengekalkan ikatan silaturrrahim sesama kita demi imej fan martabat sukan negara.
“Pentas Sukma ini adalah platform untuk kita melihat lahirnya bakat-bakat berpotensi besar yang suatu hari nanti bakal menjadi bintang-bintang utama sukan negara demi mengejar kegemilangan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika memberi ucapan sempena Majlis Selamat Datang dan Menaikkan Bendera Kontinjen Sukan Malaysia XX MSN 2022 di Perkarangan Dectar UKM, Bangi pada Rabu.