BARISAN jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN), menerima kadar dan skim gaji baharu, selepas kira-kira sedekad tiada semakan dibuat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kelulusan penyelarasan jumlah gaji itu diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN (Majlis Sukan Negara), sekali gus akan menyaksikan jurulatih menerima pelarasan Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK), berkuatkuasa 1 Januari 2024.
Justeru, jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan berdasarkan kepada tahap kelayakan mengikut Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan.
Menurut beliau, kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan Sijil SPKK Tahap 3 iaitu kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), bakal menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan yang baru diluluskan ini.
Ujar Hannah, langkah perubahan pada kadar skim gaji dan imbuhan baharu itu wajar dilakukan kerana kali terakhir disemak mengenai pindaan penetapan tangga gaji jurulatih-jurulatih dibuat pada 2014.
Tambah beliau, jika perkara tersebut tidak buat kemungkinan Malaysia bakal kehilangan jurulatih terbaik yang bakal ke luar negara selepas ini.
“Hari ini Majlis Sukan Negara (MSN) telah meluluskan satu kertas kerja untuk mengkaji semula gaji-gaji jurulatih di Malaysia dan kali terakhir kita membuat pindaan tangga gaji itu pada 2014.
“Oleh itu, kita lihat 10 tahun telah lepas dan kalau kita tak kaji semula kita akan kalah kepada negara-negara jiran kita dimana jurulatih kita, atlet kita akan meninggalkan kita pergi keluar negara,” kata Hannah.
Dalam pada itu, untuk menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan turut diberi berdasarkan tahap pencapaian terbaik ketika bergelar atlet.
“Sebagai contoh, bekas atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian pingat di temasya Sukan Olimpik ataupun Sukan Paralimpik, diberikan imbuhan gaji tambahan RM3,500 sebulan manakala pencapaian pingat di Kejohanan Dunia menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak RM3,000.”
Sementara itu, elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman ataupun pelepasan oleh majikan) manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing.