PENYERANG antarabangsa Kyrgyzstan, Ernist Batyrkanov menjadi sandaran utama Kelantan United FC (KUFC) merobek gawang lawan selepas diperkenalkan secara rasmi menyertai The Green Deers.
Menerusi kenyataan dikeluarkan KUFC, Ernist turut berkebolehan beraksi di posisi sayap kiri dan kanan selain berpengalaman beraksi di Liga Utama Armenia serta Kazakhstan.
“Memulakan karier muda 2016 bersama Alaa-To Naryn, dia mendapat kontrak profesional bersama kelab Dordoi selama 4 tahun sebelum berkelana ke Liga Kazakhstan, Kyzyl-Zhar pada tahun 2021.
“Tidak sampai setahun, pemain kelahiran Bishkek ini disambar kelab Liga Armenia, FC Van dan telah membantu pasukan tersebut menamatkan musim di tangga keenam serta layak ke suku akhir Piala Nasional,” ujar kenyataan tersebut.
Tambah KUFC lagi, pada musim ini pemain berusia 25 tahun itu beraksi bersama pasukan FC Abdysh-Ata Kant dan membantu kelab berkenaan muncul juara Liga Premier Kyrgyzstan serta Piala Kyrgyzstan.
“Dia menjaringkan 13 gol dan enam bantuan gol keseluruhan untuk meletakkan dirinya dalam senarai terkini skuad Kebangsaan Kyrgyzstan dan kali terakhir tersenarai ialah ketika aksi persahabatan pada September 2022 melawan Russia.
“Kelantan United FC mengharapkan kehadiran Ernist Batyrkanov akan membantu pasukan memberi cabaran kepada kelab yang lain yang bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim 2023,” katanya.