PENGLIBATAN Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena bola sepak tempatan telah membawa dimensi baharu Liga Malaysia kerana kekuatan jenama yang ada pada mereka berjaya menarik minat penajaan dari pihak korporat sekali gus meningkatkan lagi nilai komersil liga.

Selepas sembilan tahun mencipta sejarah menjuarai Liga Super secara berturut-turut, JDT mengorak langkah baharu apabila turut menubuhkan pasukan futsal untuk bertanding dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) bermula musim ini.

Saingan MPFL yang sudah memasuki peringkat suku akhir juga telah menyaksikan JDT berjaya menerajui Kumpulan B mengenepikan cabaran pasukan tradisi, Selangor MAC.

Datuk Seri Rosmadi Ismail

Penyertaan JDT dalam futsal juga memperlihatkan semakin banyak penyokong yang hadir ke stadium dan semakin ramai yang mula mengambil perhatian tentang kewujudan MPFL termasuk para penaja swasta.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail yang mengesahkan terdapat signal positif dari pihak korporat untuk menaja selepas penglibatan JDT dalam MPFL.

“Ada signal yang positif dari penaja swasta apabila kemasukan JDT dan ianya membawa impak yang baik meskipun belum secara drastik dan saya menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana bersetuju untuk turut serta tahun ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

 

Rosmadi juga berharap dengan penyertaan JDT, ianya dapat membuka mata pasukan lain untuk meningkatkan prestasi kelab masing-masing untuk memberikan cabaran kepada Harimau Selatan.

“Diharap dengan kemasukan JDT ini, pasukan lain akan tingkatkan prestasi untuk mencabar mereka dan ini baik kerana ianya akan turut meningkatkan lagi kualiti pasukan kebangsaan kita,” tambahnya.

JDT bukan sahaja memberikan nilai tambah kepada MPFL malah sudah mula meletakkan penanda aras baharu dalam venue futsal apabila menaik taraf Stadium Tertutup Pasir Gudang menjadi sebuah gelanggang futsal bertaraf antarabangsa.