JURULATIH China, Branko Ivankovic, tidak akan meletak jawatan, meskipun pasukan itu terus mengalami kekalahan, termasuk dalam perlawanan terbaharu menentang Arab Saudi.

Walaupun terperosok di tangga tercorot kumpulan kelayakan Piala Dunia 2026 dan telah melepaskan sembilan gol dalam dua perlawanan, Ivankovic menegaskan tidak akan meletak jawatan.

Ujarnya, China tampil ‘sedikit lebih baik’ berbanding kekalahan besar 7-0 kepada Jepun sebelum ini.

Namun, dengan pasukan berstatus terendah dalam kumpulan itu, Indonesia, berjaya mengutip dua mata selepas dua keputusan seri berturut-turut, tidak mengejutkan apabila tanda pagar “Ivankovic letak jawatan” mula trending di platform media sosial Weibo sejurus selepas wisel penamat.

Sejak dilantik pada Februari untuk menggantikan Aleksandar Jankovic dari Serbia, Ivankovic hanya memenangi satu daripada enam perlawanan yang dikendalikannya, dengan dua keputusan seri dan tiga kekalahan.

China head coach Branko Ivankovic applauds supporters after his side’s loss to Saudi Arabia. Photo: Xinhua

Branko Ivankovic, memberikan tepukan kepada para penyokong selepas pasukannya tewas kepada Arab Saudi. Foto: Xinhua

“Soalan itu tidak patut ditujukan kepada saya. Kami mengalami kekalahan besar dalam perlawanan pertama, tetapi kami menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua.

“Kumpulan ini terdiri daripada lawan yang kuat dan matlamat kami adalah untuk mencapai kedudukan empat teratas. Kami sedang berusaha ke arah itu, dan dengan baki lapan perlawanan, kami masih ada harapan,” kata Ivankovic apabila ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan. ”

Untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali kedua selepas 2002, pasukan Ivankovic perlu menamatkan saingan di dua tempat teratas. Jika menduduki tempat ketiga atau keempat, mereka berpeluang mara melalui pusingan kelayakan tambahan.

Cabaran buat pasukan China yang berada di kedudukan tercorot tidak akan menjadi lebih mudah apabila mereka akan berdepan Australia dalam perlawanan seterusnya di Adelaide pada 10 Oktober, di mana pasukan Australia juga mencari kemenangan pertama mereka.