JUMLAH penjualan tiket yang perlahan untuk perlawanan Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Republik Krygyz menjadi bahan bualan netizen sehingga mendapat perhatian Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh.

Isu ‘select game’ ini masih membelenggu penyokong Harimau Malaya yang dikatakan masih tidak mempunyai semangat kesukanan dan masih beralasan untuk hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan.

Namun tinjauan FLASH SUKAN di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil mendapati isu itu tidak dipersetujui penyokong yang hadir dengan mengatakan ada beberapa faktor yang menyebabkan penyokong memilih perlawanan ini timbul.

“Kalau kita lihat ‘trend’ sekarang ini ramai penyokong yang hadir ke stadium tetapi mungkin ada beberapa faktor seperti hari bekerja dan cuti panjang sempena Deepavali yang menyebabkan isu ini timbul.

“Isu harga tiket juga bukan faktor utama sebenarnya kerana hanya segelintir penyokong yang berpendapat begitu dan saya sentiasa hadir ke stadium untuk memberikan sokongan buat Harimau Malaya,” kata Syafiqah Ishak yang percaya dengan kemampuan skuad Kim Pan-gon untuk mencatat kemenangan.

Seorang lagi penyokong Shah Reza Azman turut berpendapat tayangan skrin besar di Lembah Klang seharusnya tidak dijadikan isu kerana walaupun jualan tiket agak perlahan namun masih ada penyokong yang tidak sempat ke stadium kerana pelbagai faktor.

“Kita kena faham kepadatan dan keluasan Lembah Klang memainkan peranan dengan keadaan trafik untuk sampai ke Bukit Jalil tetapi untuk mengatakan penyokong Malaysia memilih permainan itu tidak adil kerana generasi sekarang kesedaran terhadap pasukan Harimau Malaya sudah berubah,” katanya.

Kedua-dua mereka yakin skuad Harimau Malaya berjaya menundukkan Republik Krygyz untuk memulakan kempen kelayakan ke Piala Dunia dengan langkah kanan dan membawa senyuman kepada penyokong yang hadir.