PERJALANAN tiga sahabat karib menyaksikan pemain Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Asia 2023 Doha cukup unik.
Mendapat julukan Ekor Harimau Malaya, Kamaruddin Selamat, 40, memilih untuk melaksanakan terlebih dahulu ibadah umrah bersama dua lagi rakan peminat tegar, Sulfi Aswan, 41, dan Fakarudin Talib, 46, di Arab Saudi kemudian terus berkampung di Doha.
“Kami kerjakan umrah secara DIY dengan kos RM6,000 bermula penerbangan dari Kuala Lumpur – Jeddah – Doha – Dubai – Kuala Lumpur.
“Selama 10 hari kami buat umrah terlebih dahulu bermula 4 hingga 14 Januari 2024, diikuti berkampung di Doha (14 hingga 26 Januari) dengan kos RM4,000
“Selepas perlawanan bertemu Korea Selatan, kami akan pergi ke Dubai (22 – 29 Januari) sebelum pulang ke tanah air,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Doha, Qatar.
Menurut kakitangan kerajaan yang berasal dari Selangor, mereka telah merancang untuk melakukan umrah lebih awal tetapi terbantut.
“Dulu dah plan pergi umrah semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia 2022/2023 Emiriah Arab Bersatu (UAE) menentang Malaysia pada 2020 tetapi Covid-19 melanda.
“Hasrat itu ditangguhkan ke Piala Asia 2023. Alhamdulillah tercapai juga.
“Kami memilih untuk melaksanakan ibadah umrah ketika ini adalah untuk memanfaatkan masa dan cuti yang ada. Semangat ekor harimau ada di mana sahaja berada dalam jiwa kami.
“Sepanjang umrah, selain doa kepada diri sendiri, keluarga, rakyat Malaysia. Kami juga titipkan doa khusus untuk kejayaan pasukan Harimau Malaya. Apa-apa pun keputusannya, kami tetap redha dan akan terus menyokong Harimau Malaya selagi bernyawa,” kata bapa kepada lima cahaya mata itu.
Mengulas lanjut, Kamaruddin akui bola sepak negara sudah lama ketandusan kejayaan di peringkat Asia dan peminat pastinya dahagakan melihat perkembangan positif selepas ini.
“Angkatlah maruah bola sepak kita setanding dengan pasukan terbaik di Asia. Kita tidak kuat tetapi kita mempunyai kekuatan untuk menjadi kuat,” katanya.
Sementara itu, di sebalik kisah suka di bumi Doha menyokong Malaysia, terdapat duka yang terpalit untuk dikenang sepanjang hayat.
“Paling seronok, kami dapat mengunjungi semua venue Piala Dunia 2022. Kisah duka adalah apabila disindir oleh penyokong-penyokong Arab di Doha apabila berselisih di Metro atau tempat awam,” ujarnya.