KEDAH Darul Aman FC kini berdepan situasi kritikal apabila para pemainnya bertindak memboikot latihan buat kali kedua, ekoran masalah tunggakan gaji yang belum diselesaikan.
Tindakan ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong setia pasukan yang prihatin akan masa depan pasukan kesayangan mereka.
Seorang penyokong tegar Kedah FC, Puaka Jerai, tampil memberikan pandangannya berhubung isu hangat ini.
Menurutnya, tindakan para pemain tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana masalah sebenar terletak pada kelemahan pengurusan.
“Pada pandangan saya, kita tidak boleh salahkan pemain kerana mereka hanya bertindak balas terhadap janji yang tidak ditepati oleh pihak pengurusan,
Sebelum ini, pihak pengurusan berjanji untuk menyelesaikan pembayaran gaji, namun sehingga sekarang, masih tiada tindakan yang jelas diambil,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Puaka Jerai atau nama sebenar Zulkifli Hashim turut menyatakan rasa simpati terhadap situasi pemain yang terpaksa berdepan kesukaran kewangan sehingga mengganggu kehidupan harian mereka.
“Ada pemain yang merungut mereka tidak cukup belanja untuk ke padang latihan. Ini bukan hanya menjejaskan pasukan senior, malah pasukan junior juga menghadapi masalah yang sama jadi, saya rasa wajar untuk pemain memboikot latihan bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka,” ujarnya lagi.
Ketika ditanya mengenai reaksi penyokong, Puaka Jerai menjelaskan bahawa setakat ini, tiada gerakan boikot dalam kalangan penyokong.
ARTIKEL BERKAITAN : “Kedah tambah parah andai tiada pengganti Habib Haroon” – Puaka Jerai
Mereka masih datang ke stadium untuk memberikan sokongan moral kepada pasukan, namun tekanan kini diletakkan sepenuhnya kepada pengurusan.
“Buat masa ini, tiada lagi gerakan boikot dari penyokong cuma, kami ingin menekankan agar pihak pengurusan segera menyelesaikan isu ini.
“Kami juga berharap agar pemegang saham pasukan turut mengambil tindakan dan prihatin dengan masalah yang sedang berlaku,” tegasnya.
Krisis yang dihadapi Kedah FC bertambah rumit apabila pasukan itu masih dikenakan transfer ban, yang menghalang mereka daripada mendapatkan pemain baharu.
Keadaan ini memburukkan lagi situasi, terutamanya apabila beberapa pemain utama, termasuk Habib Haroon dan Fikri Che Soh, telah meninggalkan pasukan.
Seorang lagi penyokong Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah, turut meluahkan kerisauannya tentang keadaan semasa pasukan.
“Setakat ini, kami telah kehilangan dua pemain penting, termasuk tonggak utama, Habib Haroon. Jika benar Kedah masih dikenakan transfer ban, ia pasti akan menambahkan lagi keperitan yang sedang kami hadapi,” katanya.
Hazriq yang juga Pengerusi Kelab Legasi Kedah menambah, para penyokong kini hanya mampu berdoa agar krisis ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Dengan apa yang sedang berlaku, kami hanya mampu berdoa agar semua ini dapat diharungi dengan baik. Kami sangat berharap pihak pengurusan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” ujarnya.
Ditanya mengenai langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan isu pembayaran gaji yang tertunggak, kedua-dua penyokong memberikan pendapat yang sama iaitu pihak pengurusan dan semua yang bertanggungjawab perlu duduk bersama dan mencari penyelesaian segera demi menyelamatkan masa depan Kedah FC.
Krisis tunggakan gaji, di mana pemain hanya dibayar untuk 1.5 bulan sepanjang 2024 secara ansuran, jelas sekali telah menjejaskan kesejahteraan pasukan.
Penyokong-penyokong Kedah FC berharap semoga pihak pengurusan dapat segera menyelesaikan isu pembayaran gaji yang tertunggak ini.